Bapa, anak duduki SPM peroleh A semua subjek

Oleh Nur Izzati Mohamad
BUKIT MERTAJAM: Seorang bapa teruja dapat berkongsi kejayaan bersama anak perempuannya apabila mereka masing-masing memperoleh keputusan cemerlang 7A dan 11A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan hari ini.
R Baskaran, 58, mengambil keputusan menduduki semula peperiksaan SPM bersama anak bongsunya, B Dannya, 18, untuk mencabar dirinya bahawa usia bukan penghalang selain mahu memberikan inspirasi kepada generasi muda mengenai kepentingan menjadi manusia berilmu.
Beliau yang bertugas sebagai penyelia perubatan di Hospital Pulau Pinang (HPP) amat mencintai bidang pendidikan apabila mendedikasikan seluruh hidupnya dengan belajar di peringkat ijazah hingga doktor falsafah (PhD).
“Saya memperoleh Ijazah Sarjana Muda dari Universiti Sains Malaysia (USM) dalam bidang pengurusan, kemudiannya sambung di peringkat Sarjana di Universiti Utara Malaysia (UUM) dalam bidang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan sehingga Ijazah Kedoktoran dalam Pentadbiran Perniagaan di sebuah kolej swasta.
“Jadi selepas habis belajar di semua peringkat tinggi, saya rasa nak cuba aplikasikan apa yang saya belajar di peringkat bawah, selain mahu menemani serta memberi sokongan kepada anak bongsu.
“Tambahan pula, melihat silibus SPM nampak seperti sukar, jadi saya nak cabar diri dan ternyata walaupun umur saya dah meningkat tetapi jika kita mahu segala-galanya akan menjadi mudah,” katanya ketika dihubungi BH hari ini.
Beliau juga mahu memperbaiki keputusan SPM diperolehnya pada 1984 yang ketika itu hanya memperoleh pangkat dua.
“Semasa anak pertama dan kedua saya nak ambil SPM, banyak halangan dihadapi. Sekarang tinggal anak bongsu sahaja, maka saya ambil kesempatan ini kerana mahu memberikan sokongan kepadanya.
“Kami belajar dan ulangkaji bersama dengan menonton Youtube yang banyak memberikan teknik menjawab soalan. Apabila anak tidak faham saya akan ajarnya dan apabila saya tidak faham dia pula ajar saya yang apabila kami dua-dua tidak faham, dia akan rujuk kepada gurunya.
“Begitulah cara kami belajar dan sebagai bapa ia sesuatu yang menyeronokkan apabila kami dapat mempamerkan rasa kasih sayang kami anak-beranak dalam menuntut ilmu,” katanya yang menduduki peperiksaan SPM dengan anaknya di Sekolah Menengah Tinggi Bukit Mertajam.
Baskaran berkata, dia sudah memberi laluan pendidikan untuk anaknya dan berharap dapat digunakan bagi memastikan mendapat kehidupan lebih baik.
“Saya amat mementingkan pendidikan dan sangat memberikan galakan kepada anak untuk berusaha demi masa depan mereka. Jika saya boleh, mesti mereka juga boleh dan berharap ia memberi insipiras kepada generasi muda pada masa ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd