Bina aplikasi ‘butang panik’ untuk penumpang lapor pemandu bas

BHDarfizzi o BHfield image listing featured v2.var 1749778969

KESELAMATAN jalan raya masih membimbangkan, terutama membabitkan kenderaan berat seperti bas ekspres dan persiaran serta lori. Kes kemalangan tragik akibat pemanduan berbahaya pemandu bas dan lori menarik perhatian rakyat dan pihak berkuasa.

Meskipun perundangan seperti Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan penguatkuasaan berkala Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta polis dilaksanakan, masih wujud kelompongan dari segi pemantauan secara masa nyata terhadap tingkah laku pemandu bas dan lori di jalan raya.

Aduan umum sering diterima termasuk pemanduan melebihi had laju, pemanduan agresif atau menukar lorong secara melulu, tidak mematuhi waktu rehat ditetapkan serta keletihan akibat tekanan jadual perjalanan padat.

Hakikatnya, penumpang adalah individu paling hampir dan berpotensi tinggi mengesan tanda-tanda awal risiko pemanduan berbahaya. Malangnya, mereka tidak mempunyai saluran efisien dan pantas untuk membuat laporan kecemasan semasa kejadian berlaku.

Antara cadangan progresif wajar ditimbang kerajaan ialah pembangunan aplikasi pintar dengan fungsi ‘butang panik’ untuk penumpang bas. Aplikasi ini boleh menjadi kawalan risiko secara pentadbiran berasaskan teknologi, sekali gus membolehkan penumpang melaporkan sebarang situasi bahaya secara terus dan masa nyata.

Fungsi utama aplikasi ini adalah membolehkan penumpang menghantar isyarat amaran sekiranya berlaku insiden seperti pemanduan berbahaya, pemandu mengantuk atau menunjukkan tanda hilang kawalan.

Apabila butang panik ditekan, aplikasi akan menghantar maklumat seperti lokasi sistem kedudukan geografi (GPS) terkini, butiran bas, masa kejadian dan pilihan untuk memuat naik gambar atau video sebagai bukti tambahan.

Sistem ini boleh diintegrasikan dengan pusat kawalan wilayah dipantau bersama agensi seperti polis, JPJ dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Maklumat ini membolehkan unit peronda berhampiran untuk menjejak dan memintas kenderaan bagi tindakan lanjut terhadap pemandu terbabit.

Perkukuh pemantauan tingkah laku pemandu

Sistem ini bukan sahaja menyediakan saluran komunikasi baharu, malah memperkukuh aspek pemantauan tingkah laku pemandu secara masa nyata. Kesedaran penumpang berupaya membuat laporan boleh mendorong pemandu lebih berhemah.

Maklum balas dihantar akan dipantau pusat kawalan menggunakan sistem GPS dan tindakan pencegahan dapat diambil dengan lebih pantas. Pelaksanaan sistem ini diyakini dapat meningkatkan keyakinan awam terhadap pengangkutan awam.

Tambahan pula, data aduan direkod secara digital membolehkan kerajaan membuat analisis statistik untuk menambah baik mutu perkhidmatan bas secara menyeluruh.

Diakui, setiap teknologi baharu pasti hadir dengan cabaran. Antara kebimbangan utama ialah kos pembangunan dan penyelenggaraan aplikasi tetapi ia boleh diatasi melalui kerjasama strategik antara kerajaan dengan sektor swasta.

Risiko penyalahgunaan atau aduan palsu boleh dikurangkan dengan mewajibkan pendaftaran pengguna aplikasi menggunakan maklumat peribadi sah.

Pendidikan dan hebahan mengenai penggunaan aplikasi betul juga penting, sama ada melalui media massa, televisyen, mahupun poster di terminal dan dalam bas.

Aplikasi ini juga perlu disediakan dalam mod luar talian dengan fungsi data cache untuk mengatasi masalah capaian internet semasa perjalanan di pedalaman.

Keberkesanan inisiatif ini bergantung kepada sokongan pelbagai pihak. Kementerian Pengangkutan boleh menganjurkan pertandingan inovasi digital dan menyediakan geran pembangunan jangka pendek kepada pemenang bagi menghasilkan aplikasi berkualiti tinggi serta mesra pengguna.

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan badan advokasi keselamatan jalan raya pula boleh mempromosikan kesedaran dan memberi pendidikan kepada masyarakat mengenai penggunaan aplikasi ini.

Pengusaha bas ekspres dan persiaran juga boleh membantu dengan menyediakan akses WiFi percuma serta menampal poster makluman berkaitan aplikasi dalam bas mereka.

Dalam era pendigitalan, pendekatan keselamatan jalan raya perlu bergerak seiring zaman. Memberi kuasa kepada penumpang untuk mengurus risiko secara teknologi bukan sahaja dapat meningkatkan keselamatan perjalanan, malah membantu pihak berkuasa memantau dan mengambil tindakan terhadap pemandu tidak beretika.

Aplikasi butang panik bukanlah satu cadangan futuristik mustahil, sebaliknya langkah realistik dan moden yang perlu segera diperkasakan. Dengan pendekatan proaktif, kita bukan sahaja menyelamatkan nyawa, bahkan membina sistem pengangkutan awam lebih dipercayai, selamat dan bertanggungjawab.

Penulis adalah Pengamal Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

© New Straits Times Press (M) Bhd

Related Articles