Sani express 1024x682 1

Sani Express syarikat bas ekspres pertama terima ISO 39001:2012

KUALA LUMPUR – Penyedia perkhidmatan bas ekspres, Sani Express Sdn. Bhd. (Sani Express) menjadi syarikat bas ekspres pertama yang berjaya memperoleh pensijilan ISO 39001:2012 Road Traffic Safety Management System For Operation of Buses Express

Pengarah Urusan Sani Express, Wan Mohd Iskandar Salleh berkata, pengiktirafan daripada SIRIM QAS International Sdn. Bhd. (SIRIM) itu adalah bukti komitmen dan kesungguhan keseluruhan kakitangannya untuk mencapai standard keselamatan yang tinggi. 

“Pencapaian ini sesuai dengan moto kami, iaitu Keselamatan Dan Keselesaan Anda Keutamaan Kami. 

“Kami akan sentiasa berusaha meningkatkan tahap keselamatan setiap unit bas dengan menggunakan teknologi keselamatan terkini, demi memberi kesan positif kepada ekonomi, sosial dan alam sekitar,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Sijil ISO Sani Express di sini, semalam.

Turut hadir Ketua Pengarah Agensi Pengangkutan Awam Darat, Datuk Azlan Shah Al Bakri, Pengerusi Kumpulan Sani, Dato’ Sani Salleh dan Ketua Seksyen Mekanikal, Elektrikal, Automotif Aeroangkasa SIRIM QAS International Sdn Bhd, Zakaria Mohamad Nor. 

Sementara itu, Wan Mohd Iskandar pada sidang akhbar menerangkan, proses mencapai pengiktirafan itu bukan sesuatu yang mudah kerana ia memerlukan komitmen daripada pengurusan tertinggi sehingga ke kakitangan peringkat bawah. 

“Walaupun berasa bangga dengan pencapaian ini, kami percaya komitmen harus dikekalkan supaya dapat menyediakan perkhidmatan terbaik buat pelanggan di masa akan datang. 

“Pada tahun 2016, Sani Express telah dianugerahkan lima bintang dari segi keselamatan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), bermula dari situ syarikat sentiasa mencari yang terbaik,” ujarnya.

Sani express 2 1024x682 1
Ketua Pengarah Agensi Pengangkutan Awam Darat, Datuk Azlan Shah Al Bakri (dua dari kiri) menyerahkan Sijil ISO 39001:2012 kepada Wan Mohd Iskandar pada Majlis Penyampaian Sijil ISO 39001:2012 di WTC Kuala Lumpur.

Beliau berkata, Sani Express akan terus mengekalkan momentum bagi memastikan keselamatan pelanggan yang menggunakan perkhidmatan mereka. 

“Paling penting ialah keselamatan, sudah tentu bas yang digunakan ialah bas baharu dan selesa tetapi yang paling utama ialah kita mahu apabila penumpang naik bas Sani Express, mereka rasa selamat sehingga ke destinasi.

“Bagi perancangan untuk masa akan datang, buat masa ini kami berhasrat untuk memberi perkhidmatan di seluruh negara, jadi kami merancang untuk menambah bas baharu dah menyediakan lebih banyak laluan buat pengguna,” ujarnya. 

Sementara itu, Zakaria berkata, standard ISO 39001:2012 ialah sama seperti standard antarabangsa yang telah diadaptasi ke dalam negara yang memberi penekanan kepada tiga perkara dalam pengurusan. 

“Pihak pengendali telah membangunkan sistem untuk memastikan kepatuhan standard ISO dikenal pasti dan dilaksanakan sepenuhnya. 

“Tiga perkara diberi penekanan bagi mencapai ISO ini, yang pertama ialah pengurusan kenderaan di mana kenderaan itu sentiasa dalam keadaan baik untuk memastikan keselamatan pengguna,” ujarnya. 

Selain itu katanya, pengurusan pemandu turut diteliti kerana merupakan elemen penting untuk membawa penumpang ke destinasi dengan selamat. 

“Perkara ketiga yang kita lihat ialah pengurusan jalan yang dipilih, merangkumi keselamatan jalan yang baik dan keadaan rendah risiko supaya penumpang selamat tiba ke destinasi.

“Sistem pengurusan ISO ini sudah dilaksanakan sejak tahun 2012 dan SIRIM sudah memberikan pengiktirafan kepada lebih 30 syarikat dalam pelbagai bidang tetapi dalam industri bas ekspres ini, Sani Express ialah syarikat pertama. 

“Jadi, kita berharap perkara ini akan menjadi momentum kepada pengusaha lain supaya mengikut jejak langkah Sani Express untuk memberi perkhidmatan terbaik,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post Sani Express syarikat bas ekspres pertama terima ISO 39001:2012 appeared first on Kosmo Digital.