KKM beri jaminan tiada pengurangan perkhidmatan teras
PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) memberi jaminan tiada pengurangan akan dibuat terhadap perkhidmatan teras kesihatan walaupun terdapat cadangan penjimatan perbelanjaan membabitkan kementerian.
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata cadangan potongan dibangkitkan selepas mesyuarat Kabinet semalam bukanlah keputusan muktamad, sebaliknya masih di peringkat cadangan oleh Kementerian Kewangan (MOF) untuk dipertimbangkan setiap kementerian.
Beliau berkata, perkhidmatan asas seperti rawatan pesakit, penjagaan kecemasan, bekalan ubat serta peralatan perubatan akan terus dipelihara tanpa sebarang pengurangan.
“Semua perkhidmatan teras (core essential services ) termasuk perkhidmatan kecemasan akan dipastikan tidak terjejas kerana ia sudah dirancang dalam pelan jangka panjang 2026.
“Sebarang pengurangan hanya akan membabitkan perkara bukan kritikal dan masih tertakluk kepada rundingan lanjut antara kementerian,” katanya selepas menghadiri Sambutan Hari keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2026 di kementeriannya hari ini.
Media semalam melaporkan, MOF menegaskan panduan pelarasan Perbelanjaan Mengurus (OE) bagi semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan yang dikeluarkan kementerian itu hanya membabitkan perbelanjaan tidak kritikal.
Kementerian itu menjelaskan, bagi semua perbelanjaan teras, termasuk perkhidmatan asas, keselamatan, kesihatan dan pendidikan akan diteruskan seperti yang diluluskan dalam Belanjawan 2026.
Mengulas mengenai peruntukan, Dzulkefly berkata, pihaknya menerima kira-kira RM46.5 bilion, lebih rendah berbanding Kementerian Pendidikan yang memperoleh lebih RM60 bilion.
“Secara keseluruhan, kita berdepan kemungkinan pengurangan sekitar 10 peratus, namun rundingan masih berjalan bagi memastikan perkhidmatan teras terus dikekalkan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan pengisian jawatan dalam sektor kesihatan juga tidak dijangka terjejas, termasuk perancangan penambahan kira-kira 4,500 jawatan baharu, khususnya bagi doktor kontrak.
Katanya, langkah itu penting bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat kekal pada tahap optimum.
© New Straits Times Press (M) Bhd