Bh16tapak o bhfield image listing featured v2. Var 1715843801

KKR akan pantau tapak pembinaan secara kerap, kenalpasti kesalahan kontraktor

nooratiqah.sulaiman@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya (KKR) akan melakukan operasi pemeriksaan dan tinjauan yang lebih kerap ke tapak pembinaan bagi mengenal pasti kesalahan yang dilakukan oleh kontraktor.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, dengan operasi yang dilakukan itu diharapkan dapat memberi mesej kepada pemain industri untuk patuh kepada semua peraturan dan undang-undang yang ditetapkan.

Katanya, beliau turun padang ke tapak pembinaan yang dikenal pasti untuk mengadakan operasi mengejut bagi memantau kerja dalam sektor pembinaan.

“Dalam operasi ini, pelbagai agensi turut bekerjasama dan masing-masing mempunyai fokus di bawah seliaan mereka seperti Kementerian Kesihatan (KKM) dalam operasi ini berjaya mengesan empat tempat pembiakan jentik-jentik kerana kita kena kawal denggi, sebab saya difahamkan ada berlakunya kes denggi berdekatan sini.

“Selain itu, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) pula memastikan pekerja mempunyai sijil yang diiktiraf atau kemahiran yang ada pada pekerja dan kesalahan daripada pihak majikan.

“Kesalahan paling ketara yang CIDB kenalpasti adalah berkaitan ‘scaffolding’ (perancah bangunan) yang disalahgunakan,” katanya selepas lawatan mengejut itu, hari ini.

Selain CIDB dan KKM, agensi lain yang turut serta dalam operasi itu ialah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH), Jabatan Imigresen (JIM) dan Pihak Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CIDB, Datuk Mohd Zaid Zakaria berkata, sehingga April lalu sebanyak 174 lawatan tapak dilakukan sekitar Kuala Lumpur dan daripada jumlah itu sebanyak 91 kertas siasatan dibuka.

“Untuk hari ini, kita utamakan mengenai penguatkuasaan bahan binaan dan pastikan bahan yang digunakan itu berkualiti dan mengikut piawaian di negara ini dan antarabangsa.

“Contohnya, hari ini kita dapati penyalahgunaan pada perancah bangunan jenis A-frame yang masih digunakan walaupun kualitinya sudah merosot.

“Sepatutnya perancah bangunan itu digunakan untuk dua atau tiga kali saja tetapi ia sudah digunakan berulang kali dan kalau panjat mungkin boleh patah.

“Penyalahgunaan ini boleh dikompaun antara RM10,000 hingga RM500,000,”katanya.

Mohd Zaid berkata kebanyakan kontraktor mahu berjimat dan disebabkan itu menggunakan perancah itu berulang kali walaupun sejak dua tahun lalu, CIDB menguatkuasakan arahan supaya alatan itu tidak lagi digunakan di tapak pembinaan.

“Ia boleh digunakan dulu, tetapi tidak bermakna boleh digunakan sekarang kerana CIDB sudah keluarkan arahan supaya alatan itu tidak lagi digunakan bagi memastikan keselamatan dan kualiti pembinaan terjaga.

“Selepas penilaian, tapak ini jika ikut pada statistik kemungkinan besar akan ditutup dan ia hanya boleh beroperasi sekiranya kesalahan yang mereka lakukan itu dibetulkan seperti membersihkan kawasan jentik-jentik dan scaffolding berkenaan dikeluarkan daripada tapak pembinaan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd