Lebih 3,000 pakar, pengamal Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan sertai Sidang ASEAN-OSH 2025

BH28NIOSHASEAN O BHfield image listing featured v2.var 1753683799

BANGI: Lebih 3,000 pakar dan pengamal Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) dalam dan luar negara akan sertai ASEAN Safety and Health Workers Summit 2025 (ASEAN OSH Summit 2025) yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, awal bulan depan.

Sidang kemuncak anjuran Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), akan memberikan fokus terhadap aspek KKP dan kesejahteraan pekerja.

Pengerusi NIOSH, Chong Chieng Jen, berkata lebih 70 pakar dari negara ASEAN serta penceramah antarabangsa, termasuk dari Denmark, Amerika Syarikat, United Kingdom dan Turkiye sertaikan sidang berkenan.

Beliau berkata, Pengamal KKP di Malaysia seharusnya mengambil peluang keemasan ini dengan menyertai program yang disediakan termasuk Persidangan KKP 2025 (Conference and Exhibition on Occupational Safety and Health – COSH 2025) dan NIOSH International Standards Seminar (NISS 2025).

“COSH 2025 yang dulunya program nasional kini sudah dinaik taraf sebagai platform antarabangsa ASEAN. Ia bukan sekadar persidangan tetapi kini perhimpunan terbesar KKP di Malaysia dengan sijil penyertaan kali ini akan turut memaparkan logo ASEAN,” katanya hari ini.

Dianjurkan sempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025, Chieng Jen berkata, penganjuran ASEAN OSH Summit 2025 pada 4 dan 5 Ogos ini turut membuka lembaran baharu kepada kerjasama, inovasi dan pembentukan dasar serantau yang berpaksikan kesejahteraan pekerja.

Selain COSH 2025 dan NISS 2025, beliau berkata, turut berlangsung di sepanjang ASEAN OSH Summit 2025 ialah Mesyuarat Eksekutif Asian Occupational Safety & Health Research Institute (AOSHRI) yang menghimpunkan institusi penyelidikan KKP dari 14 negara Asia, ASEAN++ Workshop and Technical Visit membabitkan pakar dari ASEAN dan negara rakan, MaRINA 3.0 Workshop bagi menetapkan keutamaan penyelidikan KKP untuk tempoh 2026 hingga 2030.

“Program ikrar OSH Integrity Pledge pula akan dicatat sebagai percubaan cipta rekod dunia untuk penyertaan terbesar dalam sejarah rantau ini.

“Penceramah daripada organisasi seperti International Labour Organization (ILO), SESRIC Türkiye, University of South Australia, serta pakar dari Jepun, Australia, Thailand, Indonesia dan negara ASEAN lain akan membincangkan topik penting berkaitan keselamatan kerja, termasuk pengurusan risiko psikososial, penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI), strategi ESG dalam persekitaran kerja dan masa depan pekerjaan yang lebih inklusif serta sihat dari segi mental.

“Selain itu, pameran KKP terbesar di rantau ini akan menghimpunkan lebih 60 syarikat industri dan agensi kerajaan termasuk dari bawah Kementerian Sumber Manusia,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Related Articles