Bh22murpati bhfield image listing featured v2. Var 1729581894 1

Najis merpati, bila kering makin bahaya

am@hmetro.com.my

SHAH ALAM: Longgokan najis burung merpati dalam keadaan kering dan terbiar bagi tempoh lama terutama dalam bangunan lebih berisiko membawa penyakit kepada manusia terutama gangguan pernafasan.

Ketua Kumpulan Inisiatif Penyelidikan (RIG) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Pengurusan Risiko Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan (OHSeRM), Prof Madya Ts Dr Mohd Shukri Mohd Aris berkata pada asasnya najis burung merpati yang masih baru tidak membawa jangkitan dan berisiko rendah kecuali jika dalam perut burung sudah mempunyai jangkitan bakteria.

Bagaimanapun pensyarah Fakulti Sains Kesihatan UiTM Kampus Puncak Alam itu berkata, ia tidak boleh dikatakan sifar risiko kerana najis itu akan berisiko tinggi apabila ia sudah kering dan terbiar lama.

Menurutnya, ada empat parasit dalam najis unggas itu iaitu histoplasmosis dan cryptococcosis daripada keluarga kulat atau fungi dan psittacosis dan solmonellosis daripada keluarga bakteria yang berbahaya kepada manusia.

“Kebiasaannya, ada dua jenis merpati iaitu liar dan domestik. Merpati liar adalah burung yang hidup di hutan, namun yang menjadi isu adalah merpati domestik atau urban pigeon yang hidup bebas, tidak dipelihara, membiak dalam skala tinggi serta tiada yang menguruskan (tidak dibela),” katanya.

Keadaan risiko menjadi lebih serius apabila kelompok burung merpati membuat sarang dan membuang najis dalam bangunan tertutup berbanding kawasan terbuka.

“Perkara itu perlu dilihat kepada bilangan burung berkenaan. Semakin banyak bilangan burung semakin tinggi kemungkinan jumlah najis yang tidak terurus dalam bangunan.

“Kulat dan bakteria akan hasilkan debu. Bakteria kering dibawa angin seolah-olah seperti debu. Dalam penyelidikan saintifik menyatakan kes dalam sistem pernafasan (adalah) tinggi berbanding gejala lain.

“Kita tahu manusia bernafas setiap masa, jadi kesan lebih ketara berbanding lain. Kulat mempunyai spora (struktur pembiakan organisma), jadi angin membawa kulat ke udara dan ia boleh tersebar dan masuk ke salur pernafasan manusia,” katanya.

Berdasarkan pengalaman kajian dan penilaian risiko kesihatan pekerjaan bagi mengenal pasti punca kes membabitkan pekerja industri di dalam bangunan, beliau mendapati simptom pekerja itu adalah batuk dan selesema hingga ada yang perlu dirawat di hospital.

Pastikan pakai pelitup muka jika urus najis merpati

“Pekerja membancuh simen mempunyai risiko gangguan sistem pernafasan jika tidak memakai alat perlindungan pernafasan namun risiko lebih tinggi jika pekerja itu berdepan situasi membersihkan kawasan dalam bangunan yang penuh dengan najis itu (tanpa memakai perlindungan).

“Justeru, perkara sebegini perlu diberi perhatian dengan prosedur operasi standard (SOP) dan cara pengendalian betul. Kita tak boleh mengatakan burung merpati sepenuhnya adalah bahaya kepada manusia.

“Sebenarnya yang memberi kesan adalah najis, tidak kisahlah haiwan lain juga dan ia bukan berlaku di negara kita saja, negara lain seperti Singapura, Thailand, Amerika Syarikat dan Kanada juga berdepan situasi sama,” katanya.

Katanya, Kanada mempunyai SOP mengendalikannya, maka negara ini juga memerlukan sistem pengurusan lebih efisien dalam konteks kesihatan awam dan pekerjaan untuk bangunan dan tempat awam.

Tak adil nak salahkan burung

Bangi: “Saya tahu semua jenis najis memang bahaya apatah lagi jika dijangkiti bakteria, tetapi saya akan pastikan loft (reban burung merpati) dibersihkan selalu supaya tidak mendatangkan risiko,” kata peminat burung merpati, Muhammad Aidil Adha Che Johari, 39.

Muhammad Aidil Adha berkata, dia memahami kebimbangan segelintir pihak yang mengatakan najis unggas itu bahaya serta boleh menyebabkan masalah pernafasan kepada manusia namun dia mengakui dengan penjagaan baik bersama pengurusan tepat maka masalah itu diyakini tidak berlaku.

Dia yang mempunyai 50 burung merpati pelbagai jenis mengakui ramai selalu bertanya kepadanya mengenai burung berkenaan yang dikatakan berbahaya apabila najisnya boleh menyebabkan masalah gangguan pernafasan.

“Saya tahu najis burung merpati yang sudah kering memang bahaya, malah daripada dulu lagi kita dengar perkara ini, tetapi bagi saya jika kita membuat pengurusan loft dengan baik masalah itu diyakini tidak akan berlaku. Penjagaan, kebersihan dan pengudaraan adalah sangat penting.

“Saya akui ada ketika kerana kekangan masa, sempat juga najis unggas itu kering, tetapi saya tidak akan membiarkannya terlalu lama. Apabila membersihkan loft saya memakai pelitup muka bagi mengelak terdedah kerana bahaya tak dijangka dan bau najis, selepas itu saya mandi dengan bersih.

“Biasanya burung berkepak terutama apabila diberi makan, jadi masa itu mungkin debu tersebar dan boleh masuk ke pernafasan. Maka penting pakai pelitup muka apabila masuk ke dalam loft jika najis belum dibersihkan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd