Uda1 ramai 1024x682 1

GreenCity AR iPad Challenge beri pendedahan teknologi digital kepada pelajar

KUALA LUMPUR – Seramai 242 pelajar dari 25 pusat pengajian tinggi tempatan menyertai pertandingan GreenCity AR iPad Challenge: Shaping Sustainable Urban Cities bagi memberi pendedahan dan pengalaman baharu untuk memanfaatkan teknologi digital interaktif dalam bidang reka bentuk.

Dianjurkan menerusi kerjasama UDA Holdings Berhad (UDA) dengan Apple Professional Learning Malaysia (APLM) dan UKM Pakarunding, pertandingan reka bentuk bandar mampan dalam Augmented Reality (AR) itu menggunakan peranti Apple iPad bermula 14 Oktober hingga 5 November lalu.

Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif UDA Holding Berhad, Datuk Surveyor Mohd. Salem Kailany berkata, pertandingan tersebut antara inisiatif syarikat menyokong hasrat murni kerajaan dan ia juga bertepatan dengan matlamat kelestarian UDA.

Menurutnya, pertandingan tersebut merupakan program tanggungjawab sosial korporat UDA Cares: Educational yang pada asalnya dicadangkan pada April hingga Jun 2023.

Uda3 baru 1024x682 1
Johan kumpulan kmkt cemerlang daripada kolej matrikulasi kelantan bersorak selepas berjaya membawa pulang hadiah bernilai rm12,000 dengan projek batukam city.

“Namun, bagi memberi laluan peserta menumpukan kepada peperiksaan mereka, program ini telah dijadualkan semula. Ia julung kali diadakan dan berjaya menghimpunkan 46 kumpulan dengan penyertaan 242 peserta daripada penuntut 25 institusi pengajian tinggi.

“Pihak APLM turut memberikan taklimat serta latihan secara webinar kepada peserta untuk menterjemahkan karya visual menggunakan teknologi AR bagi pembangunan inovasi ‘AR City Model’ di atas tanah milik UDA di Lot 44617, Fasa 4 Bandar Tun Hussein Onn, Mukim Cheras, Daerah Hulu Langat seluas 76.11 ekar,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Pegawai Operasi Perkhidmatan Korporat Kumpulan UDA Holdings Berhad, Reza Huzairi Zainudin.

Mohd. Salem berkata, beliau berharap ikhtiar tersebut mampu menyumbang kepada pembangunan bandar mampan dan seterusnya mewujudkan bandar lestari untuk kesejahteraan komuniti.

“Teknologi digital ini juga dapat mengoptimumkan sumber serta alternatif pengurusan sisa kepada tenaga atau Waste-To-Energy.

“Selain itu, peserta berpeluang mengadaptasi teknologi digital baharu secara interaktif dan memperdalam pengetahuan teknologi yang amat diperlukan dalam dunia digital.

“Secara tidak langsung, mereka dapat menguasai teknologi AR serta memberi pengalaman terutamanya dalam menempuh cabaran alam pekerjaan sebenar,” ujarnya.

Uda2 new 1024x682 1
Reza huzairi (tengah) menyampaikan replika cek bernilai rm12,000 kepada johan kumpulan kmkt cemerlang daripada kolej matrikulasi kelantan.

Beliau berkata, dengan memanfaatkan peluang tersebut, ia mampu membina ekonomi digital yang kalis masa hadapan dan menyahut seruan kerajaan dalam melaksanakan transformasi digital negara.

“Kami berharap program ini berupaya menyumbang kepada salah satu daripada 17 Matlamat Pembangunan Mampan atau ‘Sustainable Development Goals’ (SDG) iaitu SDG 11, bertujuan menjadikan penempatan inklusif, selamat, berdaya tahan dan mampan, seiring dengan konsep Malaysia Madani,” katanya.

Tambah Mohd. Salem, UDA terus fokus dalam pembangunan hartanah serta pengurusan aset negara dan pada masa sama, komited menggalas peranan sebagai agensi di
bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).

Katanya, UDA turut mengimbangi antara aktiviti pembangunan dengan kemampanan alam sekitar dan ekosistem serta menyambut baik hasrat kerajaan menuju ke arah kelestarian negara menjelang 2050.

Sementara itu menerusi pertandingan tersebut, Kumpulan KMKt Cemerlang daripada Kolej Matrikulasi Kelantan yang memperkenalkan projek City Batukam diumumkan sebagai johan sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM12,000 berserta sijil penyertaan.

Mereka terdiri daripada lima pelajar kesemua berusia 19 tahun iaitu Leong Jin Hui selaku ketua kumpulan, Abdul Rahim Rafliz Khan, Riordan Wong Zen-Thao, Khoo Yi Zhe dan Tan Ye Zhe yang dibimbing pensyarah, Sariza Aini Mohamad.

Bercakap kepada pemberita, Jun Hui tidak menyangka kumpulannya diumumkan sebagai pemenang sekali gus menyifatkan pengorbanan ahli kumpulan selain usaha tungkus-lumus yang dilakukan membuahkan hasil.

Ditanya mengenai projek dihasilkan iaitu City Batukam, dia berkata, kumpulannya mengambil inspirasi kawasan berdekatan Bandar Tun Hussein Onn iaitu Batu 9 dan Batu 11 di Cheras.

“Kami mengambil nama ‘batu’ itu serta menambahkan perkataan ‘kam’ di hujungnya. ‘Kam’ ini di dalam bahasa Kantonis bermaksud emas, jadi ia diibaratkan golden city atau bandar emas, menyebabkan wujudnya nama ‘Batukam’ untuk projek kami.

“Sudah tentu kami gembira memenangi wang tunai RM12,000 yang mana akan dibahagikan setiap ahli. Mungkin kami akan pergi bercuti dengan wang itu, makan-makan bersama selain membeli alatan iPad kerana pihak tersebut antara penaja pertandingan ini,” katanya.

Naib johan pula Kumpulan GreenScape City daripada Politeknik Ungku Omar dengan projek Pioneering Sustainable Urban Living serta membawa pulang hadiah RM9,000, seterusnya tempat ketiga kumpulan Polycity Builders daripada Politeknik Ungku Omar dengan projek Labu Sayong Eco City memenangi wang tunai RM6,000.

Tujuh lagi kumpulan penerima saguhati iaitu kumpulan Aircond daripada Universiti Malaya (UM) serta Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT), kumpulan Bahari dan Bumantara daripada Politeknik Ibrahim Sultan dan Politeknik Metro Johor Bahru.

Seterusnya, kumpulan GreenScape Crafters daripada Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), kumpulan Midori Planner daripada UM, kumpulan ShrekTech daripada Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan kumpulan The Hive Citizen daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

The post GreenCity AR iPad Challenge beri pendedahan teknologi digital kepada pelajar appeared first on Kosmo Digital.