Pekerja mati dalam lubang pembetung: JKKP larang kacau ganggu lokasi untuk siasatan

KUALA LANGAT: Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Selangor mengeluarkan surat arahan kacau ganggu tempat kejadian susulan kejadian seorang pekerja meninggal dunia dalam lubang pembetung di sebuah tapak pembinaan di daerah ini, Isnin lalu.
Arahan kacau ganggu itu berkuat kuasa sehingga siasatan selesai bagi membolehkan JKKP mengenal pasti punca kemalangan dan pihak bertanggungjawab dalam kejadian berlaku jam 11.30 pagi itu.
JKKP Selangor melalui kenyataan berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 15(1), Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 selepas menerima maklumat mengenai kejadian itu.
Mengulas lanjut, katanya siasatan awal mendapati mangsa membabitkan pekerja subkontraktor bagi kerja pengorekan dan pemasangan paip pembetung.
“Kemalangan berlaku ketika pekerja itu masuk ke dalam lubang pembetung untuk mencari paip sambungan sebelum dikesan tidak sedarkan diri oleh rakannya yang berjaga di atas.
“Mangsa dikeluarkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan diberi bantuan kecemasan, namun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd