387a170c 05cb 4733 936c 5d9508066435 1024x683 1

Dua notis larangan dikeluarkan kepada kontraktor pembetung Jalan Bukit Katil

387a170c 05cb 4733 936c 5d9508066435

MELAKA: Dua notis larangan dikeluarkan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Melaka kepada kontraktor kerja-kerja pembesaran pembetung di Jalan Bukit Katil di sini, susulan kemalangan membabitkan tiga motosikal dan menyebabkan seorang penunggang maut, Khamis lalu.

JKKP Melaka memaklumkan, notis dikeluarkan susulan kegagalan kontraktor terlibat memasang penghadang yang kukuh di sekitar kawasan korekan dan kegagalan meletakkan tanda amaran bersesuaian beserta pencahayaan mencukupi.

Katanya, satu surat arahan juga dikeluarkan kepada kontraktor untuk membuat notifikasi berkaitan aktiviti pembinaan kepada JKKP Melaka dan melantik penyelia keselamatan tapak bina (SSS) bagi menyelia aktiviti berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tapak bina.

“JKKP memandang serius setiap kemalangan melibatkan pekerja mahupun orang awam dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kemalangan serta pihak yang bertanggungjawab dalam kemalangan tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, seorang pengutip kotak terpakai yang terlibat kemalangan di Jalan Bukit Katil tidak menyangka laporan bomba dibuatnya untuk membantu menaikkan semula motosikal roda tiganya yang terjatuh ke dalam parit, bertukar menjadi misi menyelamatkan nyawa.

Ketika ditemui, Chong Min Yang, 58, berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 5.15 pagi ketika dia dalam perjalan pulang ke rumah selepas mengutip kotak di sekitar Bukit Katil.

Katanya, keadaan jalan yang gelap tanpa penghadang kon dan lampu amaran di lokasi kerja-kerja pembesaran pembetung menyebabkannya terbabas ke dalam parit.

Dalam kejadian itu, mangsa, Haiqal Iman Mohd. Shahruddin Abdul Qayyum, 20, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala manakala Min Yang dan Mohd. Zaim Bahrin, 31, masing-masing luka di kaki, cedera di kepala dan patah kaki kiri.

Tambah JKKP Melaka, majikan atau kontraktor berkenaan bakal berdepan tindakan perundangan sekiranya didapati terdapat pelanggaran di bawah peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

Jelasnya, majikan mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja dan bertanggungjawab mengenal pasti terlebih dahulu risiko atau bahaya di tempat kerja, membuat penilaian risiko dan seterusnya mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum pekerja menjalankan aktiviti kerja.

“Langkah berkenaan bertujuan mengurangkan risiko keselamatan ke atas pekerja dan mengelakkan berlakunya sebarang kemalangan termasuk kejadian yang berlaku semalam.

“Kejadian seumpama ini boleh dielakkan jika majikan melaksanakan penaksiran dan kawalan risiko yang komprehensif mengikut kaedah yang dinyatakan dalam garis panduan bagi Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC),” ujarnya. – UTUSAN

The post Dua notis larangan dikeluarkan kepada kontraktor pembetung Jalan Bukit Katil appeared first on Utusan Malaysia.