Bhanugerah bhfield image listing featured v2. Var 1705134672

Petronas Gas Berhad Segamat raih anugerah utama keselamatan pekerja MiSHA

essabuyamin@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Petronas Gas Berhad Segamat (Operation Centre) merangkul anugerah utama Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Perindustrian Malaysia (MiSHA) dalam Majlis Anugerah Kebangsaan Kecemerlangan Prinsip Pencegahan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHPoP) 2023, di sini, semalam.

Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Bahruddin Mamat, berkata pemilihan anugerah berkenaan adalah berdasarkan amalan terbaik melalui prinsip-prinsip pencegahan dan kawalan risiko di tempat kerja dalam memastikan persekitaran kerja yang selamat.

“Antara yang dinilai adalah kaedah kawalan dan pengurusan risiko yang diterapkan di tempat kerja dan dianalisis secara sistematik mengikut prinsip-prinsip pencegahan.

“Anugerah ini adalah pengiktirafan kepada organisasi dan individu yang menunjukkan komitmen yang tinggi serta prestasi cemerlang di dalam pelaksanaan Pencegahan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan.

“Prinsip pencegahan berkenaan menjadi tunjang utama dalam membentuk landskap industri kita dan melalui anugerah itu, kita memberikan penghormatan kepada wira-wira yang tidak kenal lelah berjuang demi keamanan dan kesejahteraan di tempat kerja,” katanya ketika merasmikan majlis berkenaan di Hotel Wyndham Grand Bangsar, di sini, semalam.

Bahruddin berkata, sebanyak 77 kategori dipertandingkan dalam majlis anugerah berkenaan mewakili sektor keselamatan dan sebanyak 60 syarikat telah dikenal pasti.

“Bagaimanapun, hanya 30 syarikat sahaja yang disenarai pendek dan berjaya layak ke peringkat seterusnya setelah memenuhi Kriteria penilaian yang ditetapkan.

“Antaranya Gamuda Berhad, Petronas Gas Berhad, UMW Your Premier Association Corporation, Canon Marketing (M) Sdn Bhd dan banyak lagi,” katanya.

Katanya, anugerah berkenaan merupakan acara eksklusif, tidak dibuka secara terbuka dan penyertaannya hanya melalui jemputan sahaja.

“Berbeza dengan anugerah-anugerah yang pernah diadakan sebelum ini, proses pengadilan dijalankan sepenuhnya secara dalam talian dan peserta-peserta diminta membuat pembentangan dan menjawab soalan-soalan yang telah dikemukakan juri.

“Seramai 10 panel yang berpengalaman di dalam industri, dilantik menjadi juri dan pengadil ketika pembentangan berkenaan dan lawatan serta audit di tempat kerja dijalankan bagi syarikat-syarikat yang terpilih untuk ke peringkat anugerah tertinggi,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd