Roller-coaster Sunway Lagoon brek mengejut punca penumpang cedera, kata JKKP

PETALING JAYA: Sebuah roller-coaster di taman tema di Sunway Lagoon dipercayai mengalami kegagalan meluncur sebelum berhenti secara mengejut menyebabkan 10 penumpang cedera, dalam kejadian pada Sabtu lalu.
Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Selangor berkata siasatan awal di lokasi kejadian mendapati jentera yang membawa 22 orang penumpang tersebut beroperasi seperti biasa sebelum mengalami kegagalan meluncur, kira-kira 200m dari kawasan pelepasan.
“Kejadian itu mengaktifkan sistem brek kecemasan secara automatik sehingga menyebabkan jentera terhenti secara mengejut.
“Susulan penghentian pergerakan mengejut berkenaan, seramai 10 orang penumpang dihantar ke hospital berhampiran bagi menerima rawatan akibat kesan hentakan,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, susulan kejadian itu JKKP Selangor mengeluarkan Surat Arahan Larangan Kacau Ganggu di tempat kejadian bagi membolehkan siasatan lanjut dan pemeriksaan teknikal dijalankan oleh Bahagian Kejuruteraan Forensik JKKP Putrajaya.
Menurutnya, siasatan susulan juga sedang dijalankan termasuk memanggil majikan serta saksi-saksi kejadian bagi memberikan keterangan.
“Siasatan ini dijalankan di bawah Seksyen 18(1), Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994,” katanya.
Ketua Polis Subang Jaya Wan Azlan Mamat sebelum ini menyatakan, 10 pengunjung cedera ringan dalam kejadian kira-kira 9 malam itu.
Semua mangsa berusia antara 11 hingga 44 tahun, terdiri daripada rakyat Malaysia dan pelancong asing dilaporkan mengalami kecederaan ringan.
Insiden itu mula mendapat perhatian umum selepas beberapa video tular di media sosial, termasuk satu rakaman yang memaparkan seorang wanita diusung berhampiran bahagian landasan roller-coaster itu.