Tragedi jatuh Gunung Machinchang: Kebajikan mangsa, keluarga diberi perhatian
bhnews@bh.com.my
LANGKAWI: Langkawi Skywalk Sdn Bhd (Langkawi Skywalk) akan memastikan kebajikan mangsa dan keluarga juruteknik yang maut terjatuh sewaktu melakukan kerja penyelenggaran Eagle’s Nest Skywalk (ENS) di lereng Gunung Machinchang di sini, Khamis lalu, diberi perhatian sewajarnya.
Langkawi Skywalk adalah pemilik produk pelancongan, ENS, tempat mangsa, Allahyarham Khairul Nizam Jaafar, 41, bekerja.
Langkawi Skywalk dalam kenyataan, berkata Khairul Nizam bekerja sebagai juruteknik elektrik di syarikat itu.
“Untuk makluman, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) sudah datang dan melakukan penyiasatan terhadap kejadian terbabit.
“Pihak kami memberikan kerjasama menyeluruh dalam membantu penyiasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Langkawi Skywalk berkata, pihaknya tidak akan mengabaikan kebajikan mangsa dan keluarganya serta bantuan akan diberikan mengikut saluran sedia ada.
“Pihak syarikat ingin menegaskan kawasan kemalangan bukanlah kawasan kunjungan awam. Kawasan lantai kaca tempat kunjungan awam kekal berada dalam keadaan selamat dan tidak terjejas,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, pihak syarikat juga mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan di dalam semua keadaan.
“Bagi butiran hasil siasatan, pihak kami serahkan kepada pihak berkuasa yang terbabit,” katanya.
Khamis lalu, media melaporkan, seorang juruteknik terjatuh sewaktu melakukan kerja penyelenggaraan di ENS, sebelum disahkan meninggal dunia.
Ketua Polis Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari dilaporkan berkata, Khairul Nizam dipercayai terjatuh dari besi penahan dek kaca pada ketinggian lebih kurang 40 meter ke lereng gunung.
© New Straits Times Press (M) Bhd