
Tragedi Putra Heights: JKKP keluarkan Surat Arahan Larangan Kacau Ganggu, 5 Notis Larangan
farahmarshita@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) mengeluarkan Surat Arahan Larangan Kacau Ganggu dan lima Notis Larangan pada setiap injap blok di lokasi kejadian kebakaran saluran paip gas bawah tanah di Putra Heights, Subang Jaya.
Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dalam satu kenyataan, hari ini, berkata sebaik saja insiden itu dilaporkan, JKKP bergegas ke lokasi dan memulakan siasatan mengikut Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514).
Menurutnya, seksyen itu memperuntukkan tanggungjawab majikan dalam memastikan keselamatan pekerja di tempat kerja.
“Sebarang pelanggaran terhadap peruntukan ini boleh dikenakan denda RM500,000 atau hukuman penjara maksimum dua tahun,” menurut kenyataan itu.
Menerusi kenyataan itu, KESUMA turut meminta majikan memberi pertimbangan baik dengan mengambil kira waktu kesulitan sedang dilalui pekerja yang terjejas dalam kejadian berkenaan, serta meluluskan permohonan berkaitan daripada mereka bagi suatu tempoh yang sesuai.
“Bagi pekerja yang terjejas dan tidak dapat hadir ke tempat kerja dalam tempoh pemulihan, KESUMA menggalakkan mereka memohon kepada majikan untuk Aturan Kerja Fleksibel (AKF) sebagaimana diperuntukkan bawah Seksyen 60P Akta Kerja 1955 dari aspek perubahan waktu kerja, hari bekerja atau tempat bekerja.
“KESUMA juga menyeru majikan sektor swasta untuk mempertimbangkan pemberian cuti ihsan bergaji bagi suatu tempoh yang sesuai supaya pekerja terbabit dapat menguruskan hal berkaitan kerosakan dan kehilangan harta benda mereka,” katanya.
Dalam pada itu, menurutnya lagi, skuad PERKESO Prihatin digerakkan dengan segera ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Putra Heights dan sembilan hospital sekitar Selangor sebaik saja insiden dilaporkan, bagi memberi bantuan sokongan kepada mangsa yang mengalami trauma serta kesan fizikal akibat kejadian berkenaan.
“PERKESO sudah mengenal pasti mangsa yang merupakan pencarum PERKESO, untuk menerima faedah Skim Keilatan dan sedang dalam proses menguruskan pembayaran.
“Mana-mana pencarum PERKESO yang terbabit insiden itu boleh membuat semakan tuntutan bawah skim perlindungan sosial PERKESO, termasuk faedah Hilang Upaya Sementara serta Hilang Upaya Kekal, tertakluk kepada tahap kecederaan yang dialami,” katanya.
Katanya, semakan boleh dibuat dengan menghubungi pusat panggilan Talian Khidmat Pelanggan PERKESO melalui 1-300-22-8000.
“KESUMA terus komited membantu menangani insiden ini dengan memastikan langkah-langkah keselamatan dipatuhi serta memberi sokongan kepada pekerja yang terkesan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd