Img 20231229 wa0058 1024x1003 1

Pekerja maut tersepit lif, majikan boleh dikenakan tindakan 

Img 20231229 wa0058 1024x1003 1

Img 20231229 wa0058

 

GEORGE TOWN: Majikan kepada pekerja yang maut selepas kepalanya tersepit ketika sedang menyelenggara lif di sebuah kompleks beli-belah di Jalan Burma, di sini Selasa lalu, bakal berdepan tindakan sekiranya berlaku pelanggaran di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) 1994.

Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang, Hairozie Asri berkata, pihaknya telah menjalankan siasatan di lokasi kejadian sebaik sahaja mendapat maklumat mengenai kejadian itu.

Jelas beliau, notis pemberhentian serta-merta ke atas kerja-kerja penyelenggaraan lif yang terlibat dengan kemalangan tersebut telah dikeluarkan sehingga siasatan selesai dijalankan.

”Siasatan yang dijalankankan adalah menjurus kepada Seksyen 15, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 iaitu berkaitan dengan tanggungjawab majikan terhadap keselamatan dan kesihatan pekerjanya semasa aktiviti kerja dijalankan,” katanya di sini hari ini.

Selasa lalu, seorang pekerja penyelenggaraan ditemukan maut selepas kepalanya tersepit ketika sedang menyelenggara sebuah lif di sebuah kompleks beli-belah di Jalan Burmah, di sini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.45 petang itu, mangsa, R. Tinesh Kumar, 28, maut di tempat kejadian manakala seorang lagi pekerja penyelenggaraan berusia 53 tahun selamat.

Menurut Hairozie, pihaknya juga telah mengarahkan majikan untuk menjalankan siasatan dalaman bagi mengenal pasti punca kejadian serta langkah penambahbaikkan dan membuat pembentangan kes kepada JKKP.

Jelas beliau, pihainya akan menjalankan siasatan susulan dengan mendapatkan dokumen berkaitan dan merakam percakapan dalam pemeriksaan bagi saksi yang dikenal pasti dan pemeriksaan lanjut ke atas sistem lif tersebut.

”Menjadi tanggungjawab majikan di bawah Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 untuk memastikan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja,” katanya.

Tambah beliau, majikan yang mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja perlu membuat analisa risiko dan mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum sebarang aktiviti kerja dijalankan.

Katanya, ini bagi menghapus atau mengurangkan risiko keselamatan ke atas pekerja dan orang awam serta mengelakkan berlakunya kemalangan semasa aktiviti kerja dijalankan.

”JKKP memandang serius setiap kemalangan dan penyakit pekerjaan berpunca daripada aktiviti pekerjaan di semua sektor,” katanya.  – UTUSAN

The post Pekerja maut tersepit lif, majikan boleh dikenakan tindakan  appeared first on Utusan Malaysia.