Tourism Malaysia lancar pakej eko-pelancongan Perlis
PADANG BESAR: Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024/2025 dijangka menerima peningkatan pelancong dalam dan luar negara selepas Tourism Malaysia melancarkan pakej minat khas eko-pelancongan Perlis.
Pengarah Kanan Bahagian Domestik dan Acara Tourism Malaysia, Mohamed Amin Yahya berkata, pihaknya menyediakan pakej pelancongan minat khas itu susulan Bengkel Pembangunan Pakej Tourism Malaysia Segmen Minat Khas Eko Pelancongan Negeri Perlis pada September lalu.
Katanya, eko-pelancongan adalah aktiviti minat khas menggalakkan pelancongan mampan dan bertanggungjawab selaras dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai
‘Top of The Mind Ecotourism Destination of the World’.
“Usaha ini juga adalah selaras dengan komitmen Malaysia terhadap Agenda 2030 dan 17 Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
“Menerusi pelancaran produk eko-pelancongan Perlis diharapkan dapat menjadi pemangkin bagi memperkenalkan lebih banyak tarikan produk pelancongan lain di negeri Perlis,” katanya kepada pemberita semasa program pakej pelancongan itu di Galeri Gua Kelam di sini hari ini.
Menurut Mohamed Amin, pakej eko-pelancongan Perlis merangkumi 41 pakej kecil di mana Tourism Malaysia menjalinkan kerjasama dengan lapan pengusaha pelancongan tempatan menggabungkan elemen eko-pelancongan, gastronomi, dan pengembaraan lasak.
Katanya, untuk tahun 2022, jumlah pelancong domestik direkodkan adalah sebanyak 171.6 juta orang berbanding tahun 2021 sebanyak 66 juta orang dengan peningkatan sebanyak 160.1 peratus dengan jumlah perbelanjaan sebanyak RM64.1 billion berbanding tahun sebelumnya sebanyak RM18.4 billion.
“Perlis pula mencatatkan ketibaan pelancong sebanyak 710,991 orang pada tahun 2022 dan dengan adanya pakej eko-pelancongan Perlis ini, ketibaan pelancong untuk tahun 2024/2025 akan melonjak dengan lebih baik lagi selaras dengan penganjuran TMPs 2024/2025.
“Pakej-pakej yang ditawarkan meliputi lokasi menarik seperti Wang Kelian Viewpoint, Tasik Timah Tasoh, Gua Kelam, Gua Wang Burma, Air Terjun Bukit Ayer, Bukit Keteri, Banjaran Nakawan, Tasik Melati dan sebagainya.
“Semua pakej-pakej ini boleh dimuat turun dengan melayari laman sesawang www.malaysia.travel dan akan dipromosikan di peringkat antarabangsa melalui usaha pejabat-pejabat Tourism Malaysia Luar Negara sedia ada dengan agensi pelancongan luar negara,” katanya
Tambah Mohamed Amin, beliau berharap usaha seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan dengan penglibatan lebih ramai pengendali pelancongan dan lebih banyak produk berkaitan di negeri Perlis dibangunkan dan dipelbagaikan.-UTUSAN
The post Tourism Malaysia lancar pakej eko-pelancongan Perlis appeared first on Utusan Malaysia.