Whatsapp image 2024 07 06 at 1. 24. 41 pm

Tiada mangsa disengat gastropoda

BATU PAHAT – Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) belum menerima sebarang laporan berkaitan kes serangan organisma akuatik berbahaya dikenali gastropoda khususnya di perairan Mersing ketika ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, Ling Tian Soon bagaimanapun menasihatkan agar orang ramai tidak melakukan sebarang riadah di pantai-pantai di Mersing khususnya aktiviti mandi-manda buat sementara waktu ini.

Ujarnya, serangan gastropoda yang dikenal pasti sebagai petropoda dijangkakan akan berakhir selepas tamatnya monsun.

“Organisma akuatik berbahaya dan mempunyai sengat yang boleh memudaratkan manusia dilaporkan berada di perairan Mersing sejak 11 Jun lepas.

“Sehingga kini pihak kami (JKNJ) masih belum menerima sebarang laporan berkaitan serangan hidupan akuatik ini.

“Sekiranya terdapat kesan tertentu segeralah mendapatkan rawatan di pusat kesihatan serta sentiasa peka dengan pengumuman yang dikeluarkan pihak berkaitan,” katanya kepada pemberita selepas perasmian Program Larian Luban 2024 dan Johor Bersih Peringkat Batu Pahat di Astaka Shahbandar, di sini hari ini.

Whatsapp image 2024 07 06 at 1. 25. 05 pm
Gastropoda dikenal pasti petropoda dikesan berada di perairan kepulauan mersing sejak 11 jun lalu.

Tian Soon berkata, organisma ini dipercayai dibawa oleh angin monsun dan kapal sehingga tersebar ke kawasan kepulauan dan laut Mersing.

Tambahnya, sekiranya terkena sengatannya, kulit akan keradangan, kegatalan, kekeringan, pengelupasan, kemerahan dan kulit bersisik.-KOSMO! ONLINE

The post Tiada mangsa disengat gastropoda appeared first on Kosmo Digital.