Kedah bentang belanjawan defisit RM99.9 juta
ALOR SETAR – Kerajaan negeri membentangkan Belanjawan 2025 berjumlah RM1.26 bilion dengan jangkaan defisit 12.65 peratus atau RM99.9 juta.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, pihaknya mencadangkan peruntukan perbelanjaan mengurus berjumlah RM889.9 juta dan daripada jumlah itu, sebanyak RM87.2 juta
diperuntukkan sebagai Caruman Kumpulan Wang Pembangunan Negeri.
“Di bawah peruntukan perbelanjaan mengurus, pecahan peruntukan bagi maksud tanggungan dan perbekalan adalah perbelanjaan tanggungan RM82.84 juta dan perbelanjaan perbekalan RM807.06 juta,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Kedah 2025 di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.
Kata beliau, anggaran perbelanjaan tersebut meningkat sebanyak 4.3 peratus atau RM36.79 juta susulan kenaikan emolumen penjawat awam susulan pelaksanaan Skim Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) bermula bulan depan.
Sementara itu, menurutnya, kerajaan negeri menganggarkan jumlah hasil pada tahun 2025 sebanyak RM790 juta dengan peningkatan RM42 juta berbanding anggaran tahun 2024.
“Pecahan hasil mengikut kategori kutipan adalah seperti berikut iaitu hasil tanah berjumlah RM518.04 juta, pelbagai hasil berjumlah RM219.71 juta, hasil hutan RM35.73 juta dan hasil daerah RM16.52 juta,” ujarnya.
Tambahnya, belanjawan itu dirangka dengan meneruskan kesinambungan agenda membangunkan Kedah berpaksikan Pelan Pembangunan Kedah 2035 dan The Greater Kedah berlandaskan konsep Kedah Sejahtera Nikmat untuk Semua.
“Strategi Belanjawan 2025 meliputi empat strategi iaitu Ekonomi: Menzahirkan Pembangunan ke arah Pertumbuhan Sosio Ekonomi yang Holistik; Rakyat: Menyantuni Kesejahteraan Rakyat dan Memantapkan
Modal Insan; Alam: Kelestarian dan Kemampanan Alam Sekitar serta Tadbir Urus: Peningkatan Kecekapan Tadbir Urus dan Penyampaian Perkhidmatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Kedah bentang belanjawan defisit RM99.9 juta appeared first on Kosmo Digital.