‘Rumah yang dibaiki akibat rosak teruk dalam kebakaran paip gas dijangka siap bulan depan, kami tak sabar nak pulang…’ – Penduduk

Bh06rumah o bhfield image listing featured v2. Var 1751793177

KUALA LUMPUR: Penduduk yang menjadi mangsa insiden letupan paip gas di Putra Heights pada 1 April lalu, berpuas hati dengan proses baik pulih rumah mereka yang terjejas teruk akibat kejadian itu.

Suri rumah, Sharifah Mustafa, 59, berkata rumahnya antara 10 rumah yang memerlukan baik pulih di bawah kendalian Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan bersyukur projek itu berjalan lancar dengan hampir 70 peratus sudah disiapkan.

“Alhamdulillah, setakat ini projek baik pulih rumah saya yang rosak teruk akibat letupan paip gas itu berjalan lancar dan dijangka siap bulan depan.

“Kejadian itu menyebabkan rumah saya yang rosak terpaksa dirobohkan dan kemudian dibaik pulih semula dengan peruntukan RM300,000 daripada SPNB.

“Sekarang saya sudah nampak struktur dan bentuk rumah dengan 70 peratus hampir siap sepenuhnya. Kami tidak sabar untuk kembali semula dan hidup seperti sebelum ini di Putra Heights,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Media hari ini melaporkan, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, akan mengadakan sesi taklimat khas kepada semua Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor berhubung isu letupan saluran paip gas di Putra Heights selepas sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari pertama selesai esok.

Beliau berkata, sesi penerangan itu akan dilaksanakan jawatankuasa siasatan teknikal, antaranya membabitkan pihak polis dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).

Sharifah berkata, tindakan merobohkan rumahnya itu dibuat selepas penilaian dilakukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) demi keselamatan mereka.

Katanya, buat sementara waktu, beliau sekeluarga tinggal di rumah sewa berhampiran yang disediakan Kerajaan Selangor selama enam bulan.

Sementara itu, pengusaha bengkel kimpalan besi, Mohd Badly Nordin, 40, berkata meskipun tidak melalui proses bina semula, namun kerosakan rumahnya yang agak teruk juga perlu dibaik pulih SPNB.

“Rumah saya tak rosak teruk, namun masih memerlukan proses baik pulih kerana terdapat banyak bahagian rosak seperti bumbung dan siling rumah,” katanya.

Mohd Badly berkata, proses baik pulih enam rumah di kawasan rumahnya berjalan lancar dan dijangka siap Oktober ini, berbanding di kawasan lain yang agak perlahan.

“Peruntukan yang saya dapat untuk proses baik pulih bumbung dan siling sebanyak RM150,000, manakala jika bina baharu pula RM300,000.

“Kami difahamkan SPNB menyediakan anggaran sehingga RM300,000 untuk pembaikan rumah mangsa terjejas dan jumlah diberikan bergantung pada tahap kerosakan,” katanya.

Mohd Badly yang menetap di Kampung Sungai Baru kini tinggal di rumah sewa dengan kadar RM2,000 sebulan yang ditanggung Kerajaan Selangor untuk tempoh enam bulan.

“Saya tidak sabar pulang dan tinggal di rumah sendiri selepas kerja pembaikan selesai sepenuhnya, setakat ini proses baik pulih lancar dan kualiti kerja mereka kemas dan cantik,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Related Articles