Tragedi Putra Heights: 84 rumah masih dalam penilaian keselamatan, kerosakan

Bh4masihnilai o bhfield image listing featured v2. Var 1751608923

KUALA LUMPUR: Sebanyak 84 rumah di Taman Putra Harmoni yang terjejas akibat letupan paip gas bawah tanah di Putra Heights, Subang Jaya, 1 April lalu, kini masih dalam status penilaian keselamatan dan kerosakan.

Ahli Jawatankuasa Fasa Pemulihan Bencana Letupan Paip Gas Putra Heights Selangor, Datuk Johary Anuar, berkata jumlah itu adalah berdasarkan status semasa hingga 16 Jun lalu.

“Sebanyak 101 rumah di Taman Putra Harmoni terbabit dalam projek bina semula atau baik pulih, iaitu 13 rumah (bina semula), empat rumah (baik pulih) dan 84 rumah masih dalam penilaian.

“Pemaju terbabit ialah pihak Sime Darby Property, dan kita akan bina semula atau baik pulih kediaman berkenaan mengikut spesifikasi rumah asal.

“Ketika ini, kerja-kerja pembersihan tapak projek masih giat dijalankan dan projek dijangka siap pada Jun 2027,” katanya kepada BH.

Dalam pada itu, Johary berkata, projek bina semula atau baik pulih 17 unit rumah di Kampung Kuala Sungai Baru yang terjejas pula akan dilaksanakan oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).

“Daripada jumlah itu, 11 rumah bakal dibina semula, manakala selebihnya akan dibaik pulih.

“Kerja-kerja meroboh sudah selesai. Kerja pembinaan baharu serta baik pulih sedang giat dijalankan, dan projek dijangka siap pada Oktober 2025,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, dilapor mengesahkan tiada sebarang unsur khianat, sabotaj atau kecuaian dikenal pasti menjadi punca letupan dalam kejadian pada pagi 1 April lalu.

Justeru, polis mengklasifikasikan insiden berkenaan sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA) tetapi sekiranya terdapat bukti atau keterangan baharu ditemui, pihaknya komited meneruskan semula siasatan.

Hussein dipetik berkata, siasatan itu yang dijalankan bersama Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) mengambil kira dua perkara berbeza membabitkan aspek keselamatan dan forensik kebakaran.

Katanya, pembinaan lot kedai pejabat dan kerja penggantian paip pembetung di kawasan kejadian telah dijalankan mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta PETRONAS.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Related Articles