9 kawasan di Sarawak, Cheras dan Putrajaya catat IPU tak sihat

PETALING JAYA: Sembilan kawasan di Sarawak dan dua lokasi di Semenanjung merekodkan bacaan indeks pencemaran udara (IPU) tidak sihat setakat 8 pagi ini.
Menurut laman web Sistem Pengurusan IPU Jabatan Alam Sekitar, bacaan IPU tidak sihat tertinggi direkodkan di Serian (194), diikuti Kuching (172), Samarahan (170), Sarikei (161), Bintulu dan Sri Aman (157), Samalaju (152), Sibu (151) serta Miri (133).
Di Semenanjung, Cheras di Kuala Lumpur dan Putrajaya mencatatkan kualiti udara tidak sihat dengan bacaan IPU 101 serta 104.
Sebanyak 52 kawasan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak berada pada tahap sederhana, manakala Tanah Merah di Kelantan, Besut di Terengganu, Kangar di Perlis dan Langkawi di Kedah merekodkan bacaan IPU baik.
Bacaan IPU 0 hingga 50 dikategorikan baik, 51-100 sederhana, 101-200 tidak sihat, 201-300 sangat tidak sihat, 301-400 berbahaya, 401-500 sangat bahaya dan lebih 501 kecemasan.
Ahad lalu, Jabatan Meteorologi dalam notis ramalan cuaca signifikan memaklumkan cuaca panas dan kurang hujan dijangka di kebanyakan kawasan di Borneo, termasuk Sarawak sehingga 14 Ogos ini.
Katanya, pengaruh angin dari arah selatan serta jumlah titik panas yang dijangka kekal tinggi di negara jiran berpotensi menyebabkan jerebu rentas sempadan dan mengurangkan jarak ketampakan, khasnya di selatan Sarawak.