11 kawasan di Sarawak catat IPU tak sihat

PETALING JAYA: Sebanyak 11 kawasan di Sarawak dan satu lokasi di Semenanjung merekodkan bacaan indeks pencemaran udara (IPU) tidak sihat setakat 7.19 pagi ini.
Menurut laman web Sistem Pengurusan IPU Jabatan Alam Sekitar, Serian mencatatkan bacaan IPU tidak sihat tertinggi, iaitu 189, diikuti Samarahan (171), Kuching (166), Bintulu (159), Samalaju (156), Mukah dan Sibu (154), Sarikei (153), Sri Aman (152), Miri (137) dan Institut Latihan Perindustrian Miri (116).
Satu-satunya kawasan di Semenanjung yang mencatatkan kualiti udara tidak sihat dengan bacaan IPU 153 ialah Johan Setia di Selangor.
Sebanyak 53 kawasan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak berada pada tahap sederhana, manakala Jerantut di Pahang, Kangar di Perlis dan Langkawi di Kedah merekodkan bacaan IPU baik.
Bacaan IPU 0 hingga 50 dikategorikan baik, 51-100 sederhana, 101-200 tidak sihat, 201-300 sangat tidak sihat, 301-400 berbahaya, 401-500 sangat bahaya dan lebih 501 kecemasan.
Ahad lalu, Jabatan Meteorologi dalam notis ramalan cuaca signifikan memaklumkan cuaca panas dan kurang hujan dijangka di kebanyakan kawasan di Borneo, termasuk Sarawak sehingga 14 Ogos ini.
Katanya, pengaruh angin dari arah selatan serta jumlah titik panas yang dijangka kekal tinggi di negara jiran berpotensi menyebabkan jerebu rentas sempadan dan mengurangkan jarak ketampakan, khasnya di selatan Sarawak.
Semalam, Jabatan Pendidikan Sarawak meminta semua sekolah di negeri itu sentiasa memantau bacaan IPU di kawasan masing-masing dan menangguhkan semua aktiviti luar bilik darjah, jika cuaca terlalu panas.
Bagi kawasan dengan bacaan IPU melebihi 100, katanya, semua aktiviti di luar bilik darjah membabitkan murid hendaklah dihentikan.