6 sekolah di Sarawak ditutup akibat jerebu

9f731739 afd6 42f8 b402 bf57acd565dc jerebu serian bernama 120826
Jerebu serian
Jabatan pendidikan sarawak memaklumkan sekolah yang berada dalam kawasan atau daerah mencatatkan bacaan ipu melebihi 200 hendaklah ditutup serta-merta, tanpa perlu menunggu arahan khusus daripada pihaknya atau pejabat pendidikan daerah. (gambar bernama)

PETALING JAYA: Enam sekolah di Tebedu, Serian ditutup hari ini susulan bacaan indeks pencemaran udara (IPU) tidak sihat melebihi 200, kata Jabatan Pendidikan Sarawak (JPNS).

Ia membabitkan Sekolah Kebangsaan (SK) Sejijag, SK Sungai Sameran, SK Tepoi, SK Entubuh, SK Temong dan SK Tema, yang keseluruhannya mempunyai 579 murid serta 104 kakitangan.

JPNS berkata, walaupun sekolah ditutup sementara, proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) diteruskan.

Menurutnya, sebarang keputusan berkaitan pembukaan semula sekolah perlu mengambil kira perkembangan bacaan IPU dan arahan serta panduan ditetapkan.

“JPNS melalui Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Serian akan terus memantau perkembangan bacaan IPU dan kualiti udara dari semasa ke semasa dengan mendapatkan maklumat daripada pihak berkuasa serta agensi berkaitan.

“Pihak sekolah diingatkan sentiasa mengikuti perkembangan semasa bacaan IPU di kawasan masing-masing dan mengambil tindakan bersesuaian berdasarkan ketetapan Kementerian Pendidikan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau mengingatkan sekolah yang berada dalam kawasan atau daerah mencatatkan bacaan IPU melebihi 200 supaya ditutup serta-merta, tanpa perlu menunggu arahan khusus daripada pihaknya atau PPD.

“Pada masa sama, pihak sekolah hendaklah memaklumkan tindakan penutupan tersebut kepada PPD dan JPN dengan kadar segera bagi tujuan penyelarasan, pemantauan dan rekod.”

Menurut laman web Sistem Pengurusan IPU Jabatan Alam Sekitar, bacaan IPU 199 di IPD Serian yang tertinggi di seluruh negara, setakat 12 tengah hari tadi.

Kawasan lain yang turut mencatatkan kualiti udara tidak sihat termasuk Kuching (175), Samarahan (174), Sarikei (161), Sri Aman (158), Bintulu (156), Samalaju (153), Miri (152), Sibu (151), Putrajaya (125), Cheras (107), Banting dan Kuala Selangor yang masing-masing 103 serta 101.

Related Articles