Tiga kertas siasatan dibuka, sembilan syarikat dikesan terlibat aktiviti penambakan di Pontian
![]()
PONTIAN: Tiga kertas siasatan telah dibuka pihak berkuasa berhubung aktiviti penambakan tanah daripada sisa bahan binaan dari Singapura yang dibawa masuk ke negara, khususnya di beberapa lokasi yang telah dikenalpasti di daerah ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor berkata, tindakan itu diambil terhadap pemilik tanah dan pihak syarikat yang dipercayai terlibat dalam aktiviti berkenaan.
“Pada masa sama, kita dapati terdapat sembilan buah syarikat yang terlibat dalam aktiviti ini, dengan satu daripadanya telah dikenalpasti. Manakala lapan lagi syarikat sedang dikesan.
“Pihak berkuasa tempatan (PBT) juga akan mengambil tindakan termasuk mengarahkan semua kerja-kerja di lokasi dihentikan sehingga pihak terlibat mengemukakan penjelasan memuaskan atau mendapat kelulusan kerja tanah semula.
“Di peringkat Pejabat Tanah Daerah, kita akan arahkan supaya dua pemilik tanah khususnya di Kampung Sungai Senai, di sini dipanggil untuk membantu siasatan,” katanya ketika meninjau lokasi berkenaan, di sini hari ini.
Tambah Mohd. Jafni, penguatkuasaan secara bersepadu akan diteruskan dengan membabitkan pelbagai agensi termasuk polis, SWCorp dan juga Jabatan Alam Sekitar (JAS) bergantung kepada jenis kesalahan yang dikesan.
Sementara itu, mengulas berhubung aduan penduduk sekitar dimana aktiviti penambakan berkenaan telah menjejaskan struktur kediaman rumah mereka, Mohd. Jafni memberitahu pemilik rumah boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak terlibat.
“Pemilik rumah yang mempunyai pelan diluluskan dan perlindungan insurans biasanya boleh membuat tuntutan, namun proses untuk membuktikan kerosakan berpunca daripada aktiviti pihak tertentu memerlukan tindakan undang-undang,” katanya.
Semalam, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukup, Md. Israk Abdullah dilaporkan berkata lebih lima lokasi yang dikenalpasti terlibat dengan aktiviti berkenaan di daerah ini telah diarah henti operasi serta merta susulan mesyuarat penyelarasan yang dijalankan.-UTUSAN
The post Tiga kertas siasatan dibuka, sembilan syarikat dikesan terlibat aktiviti penambakan di Pontian appeared first on Utusan Malaysia.