Img 20231203 wa0130 1024x768 1

Sg. Kim-Kim: Hukuman tak setimpal, DPP diminta rayu

Img 20231203 wa0130 1024x768 1

Img 20231203 wa0130

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri akan membuat rayuan terhadap hukuman denda dikenakan Mahkamah Sesyen Johor Bahru terhadap pemandu lori yang menyebabkan pencemaran Sungai Kim Kim di Pasir Gudang pada 2019.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor berkata, rayuan itu dibuat kerana pihaknya berpendapat jumlah denda sebanyak RM320,000 yang dikenakan terlalu rendah dan tidak setimpal.

“Di peringkat kerajaan negeri, kita akan buat rayuan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk lihat semula sama ada denda dikenakan itu berbaloi atau tidak dengan apa kerajaan belanja serta kesan kepada masyarakat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri sesi penggulungan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Semalam, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam satu kenyataan memaklumkan pemandu lori, N. Maridass didenda maksimum RM100,000 kerana menyebabkan kejadian pencemaran Sungai Kim Kim.

JAS turut memaklumkan, syarikat terlibat, iaitu P. Tech Resources Sdn. Bhd., yang didakwa atas lapan pertuduhan di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014 juga dikenakan denda RM40,000 bagi setiap pertuduhan, menjadikan jumlah keseluruhan denda sebanyak RM320,000.

Hakim Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh mengaku bersalah pada 30 November lalu.

Mohd. Jafni yang juga Pengerusi Bersama Jawatannya Taskforce Sungai Johor turut berharap aspek penguatkuasaan pencemaran alam sekitar diperketatkan.

“Kita mesti menjaga kebersihan alam sekitar termasuk sungai-sungai yang akan diwariskan kepada generasi akan datang. Sehubungan itu penguatkuasaan lebih ketat patut dibuat.

“Ketika ini terdapat sebanyak 14 sungai yang dikategorikan tercemar di negeri ini, dahulu Sungai Kim Kim teruk tetapi kini berada pada kategori 3, sudah jadi lebih baik,” katanya.

Pada Mac 2019, insiden pencemaran Sungai Kim Kim imenjejaskan kesihatan lebih 2,000 orang awam sehingga menyebabkan 111 buah sekolah di Pasir Gudang ditutup ekoran pembuangan sisa toksik.

Kejadian itu turut menyaksikan seramai 947 orang awam diberikan dirawat dengan sembilan daripada mereka ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultan Ismail. – UTUSAN

The post Sg. Kim-Kim: Hukuman tak setimpal, DPP diminta rayu appeared first on Utusan Malaysia.