Cabaran bandar matang di DUN Bandar Utama, tingkat kualiti hidup

Yb ke mana img 9948 new

Menangani kesesakan lalu lintas, memperkemas kemudahan pejalan kaki, mengatasi isu banjir serta memastikan infrastruktur awam terus berfungsi dengan baik menjadi antara cabaran utama di Bandar Utama yang semakin padat dan pesat membangun.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Utama, Jamaliah Jamaludin berkata, tumpuan kini bukan sekadar menyediakan pembangunan baharu, sebaliknya memastikan penduduk dapat menikmati kehidupan yang lebih selesa, selamat dan berkualiti di kawasan bandar yang sebahagian besarnya telah lama dibangunkan.

“Pendekatan itu merangkumi penambahbaikan aspek pengangkutan dan kemudahan awam, pengurusan banjir, kebajikan, pendidikan serta penglibatan komuniti bagi memenuhi keperluan penduduk setempat.

Yb ke mana pa 0275z7x 3246

“Kepadatan kawasan Bandar Utama menyebabkan isu pengangkutan dan trafik antara cabaran yang perlu diberi perhatian berterusan oleh pihaknya,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

 

Yb ke manadsc09748 1 new

 

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya memberi tumpuan kepada usaha menambah baik kualiti kehidupan menerusi peningkatan fasiliti dan infrastruktur yang boleh memberi manfaat secara langsung kepada penduduk.

Katanya, pada masa sama, aktiviti komuniti turut dipergiat bagi menggalakkan penduduk berinteraksi dan mengambil bahagian dalam usaha membangunkan kawasan masing-masing.

Mengulas mengenai kemudahan pengangkutan susulan kehadiran LRT3, Jamaliah berkata, isu first mile dan last mile antara perkara yang dibangkitkan penduduk ketika beliau melakukan lawatan di kawasan tersebut.

Katanya, terdapat cadangan untuk menambah baik beberapa lokasi yang boleh memudahkan perjalanan penduduk, termasuk menyediakan laluan pejalan kaki yang lebih sesuai dan selamat.

Yb ke mana new

 

 

 

 

“Ya, saya pun sudah buat beberapa lawatan dan juga mendapat cadangan untuk menambah baik kawasan-kawasan yang mungkin boleh membantu dalam first mile, last mile dan sebagainya, terutamanya tempat perjalanan kaki yang bersesuaian,” katanya.

Beliau yang juga Exco Alam Sekitar dan Kesihatan Selangor berkata, perkara itu akan dibangkitkan dalam perbincangan bersama Datuk Bandar yang baru dilantik bagi memastikan usaha memudahkan pergerakan penduduk di kawasan Bandar Utama dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin.

Dalam pada itu, isu banjir di Sungai Kayu Ara dan kawasan kampung sekitarnya turut menjadi antara perhatian yang memerlukan tindakan berterusan.
Jamaliah berkata, kerjasama dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sedang dilaksanakan menerusi beberapa projek pemulihan dan penaiktarafan bagi menangani masalah banjir di kawasan berkenaan.

Menurutnya, terdapat beberapa projek yang bakal dijalankan dengan peruntukan JPS melebihi RM10 juta bagi membantu meningkatkan sistem pengurusan air dan mengurangkan risiko banjir.

Jelasnya, antara kerja yang terlibat termasuk mendalamkan sungai bagi meningkatkan kapasiti aliran air serta memperkukuh tebing sungai di kawasan dikenal pasti. Selain itu, beberapa fasiliti berkaitan turut akan dinaik taraf bagi memastikan air dapat dialirkan dengan lebih baik ketika hujan lebat.

Dari aspek kebajikan, Jamaliah berkata, pihaknyanya banyak bergerak menggunakan program yang sudah diwujudkan di bawah Kerajaan Negeri Selangor bagi membantu golongan memerlukan.

Antara inisiatif yang dimanfaatkan termasuk Skim Mesra Usia Emas dan BINGKAS, selain program tertentu yang dilaksanakan oleh Pusat Wanita Berdaya (PWB) dan Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis).

Katanya, bantuan berkenaan termasuk bantuan secara one-off kepada ibu tunggal dan individu yang memerlukan, selain bantuan tertentu yang disalurkan menerusi pejabat ADUN mengikut keperluan.

Sementara itu, beliau berkata, aduan utama penduduk Bandar Utama kebanya­kannya berkaitan isu tempatan yang memberi kesan langsung kepada kehidupan harian mereka.

Menurutnya, antara perkara yang sering dibangkitkan adalah berkaitan pokok, sampah, longkang dan pelbagai isu penyelenggaraan di bawah bidang kuasa kerajaan tempatan.

Selain itu, trafik serta kemudahan laluan pejalan kaki turut menjadi antara keutamaan penduduk kerana kawasan berkenaan telah dibangunkan untuk tempoh yang lama.

“Cabaran kita lebih kepada bagaimana kita mahu memastikan penduduk kita hidup dalam kualiti kehidupan yang baik dan selesa walaupun tinggal di bandar,” katanya.

Dalam bidang pen­didikan pula, Jama­liah berkata, terdapat 21 sekolah rendah dan menengah di kawasan Bandar Utama yang turut dipantau oleh pejabatnya.

Setiap sekolah, katanya, mempunyai keperluan tersendiri dan pihaknya akan cuba mem­bantu berda­sar­kan isu utama yang dikenal pasti bersama pihak sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Katanya, antara bentuk bantuan yang diberikan termasuk penyediaan kamera litar tertutup (CCTV) bagi sekolah yang mempunyai isu keselamatan serta membaiki tandas yang rosak.

“Peruntukan DUN yang tersedia mempunyai had tertentu, justeru ia perlu digunakan sebaik mungkin bagi memastikan pelajar dan guru dapat menjalankan aktiviti dalam persekitaran yang lebih selesa.

“Kerjasama dengan guru dan PIBG juga akan diteruskan bagi mengenal pasti keperluan utama setiap sekolah supaya bantuan yang diberikan dapat disasarkan kepada perkara yang benar-benar diperlukan,” ujarnya.

Bagi memastikan kesejahteraan penduduk terus terpelihara, Jamaliah turut menekankan kepentingan penglibatan aktif masyarakat dalam aktiviti serta proses membuat keputusan di peringkat komuniti.

Beliau berkata, komunikasi yang baik antara penduduk dengan persatuan penduduk, Rukun Tetangga dan pertubuhan komuniti penting supaya setiap keputusan yang dibuat mengambil kira pandangan majoriti penduduk.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan penduduk Bandar Utama supaya lebih aktif mengambil bahagian dalam aktiviti komuniti serta menyuarakan pandangan mengenai perkara yang melibatkan kawasan kediaman mereka.-UTUSAN

The post Cabaran bandar matang di DUN Bandar Utama, tingkat kualiti hidup appeared first on Utusan Malaysia.

Related Articles