Kualiti udara Serian 495 hampiri status ‘darurat’

PETALING JAYA: Kualiti udara di Serian, Sarawak menghampiri status darurat dengan bacaan indeks pencemaran udara (IPU) direkodkan setakat 7 pagi ini mencecah 495.
Menurut portal Sistem Pengurusan IPU Jabatan Alam Sekitar, tiga lagi kawasan di Sarawak mencatatkan bacaan IPU sangat tidak sihat, iaitu Kuching (289), Samarahan (265) dan Sri Aman (250).
Pada masa sama, enam kawasan lain di Sarawak dan dua lokasi di Sabah merekodkan bacaan IPU tidak sihat, iaitu Sarikei (181), Sibu (174), Mukah (169), Bintulu (159), Samalaju (153), Institut Latihan Perindustrian Miri (149), Sandakan (153) dan Politeknik Kota Kinabalu (125).
Bacaan IPU 0 hingga 50 menunjukkan kualiti udara baik, 51-100 sederhana, 101-200 tidak sihat, 201-300 sangat tidak sihat dan IPU melebihi 300 dikategorikan bahaya.
Ahad lalu, Timbalan Premier Sarawak, Douglas Uggah Embas dilaporkan berkata, negeri itu bersedia mengisytiharkan darurat jika pencemaran udara akibat jerebu mencapai tahap kritikal susulan pembatalan sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri.
“Jika IPU melebihi 500, garis panduan sedia ada memperuntukkan pejabat sektor awam serta swasta ditutup, kecuali perkhidmatan penting, sementara menunggu pengisytiharan darurat bencana oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Kebangsaan,” katanya yang juga pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak menurut The Borneo Post.