Singapura capai kualiti udara tidak sihat
![]()
SINGAPURA: Kualiti udara di kawasan tengah Singapura mencapai tahap tidak sihat pada Jumaat dengan Indeks Piawaian Pencemar (PSI) 24 jam melebihi 100, menurut data Agensi Alam Sekitar Kebangsaan (NEA).
Pada jam 7 pagi waktu tempatan, bacaan PSI 24 jam di kawasan tengah ialah 101, sekali gus memasuki kategori tidak sihat iaitu antara 101 hingga 200.Â
Bacaan itu meningkat sedikit kepada 104 pada jam 9 pagi waktu tempatan.
Namun, bacaan di kawasan lain kekal dalam kategori sederhana.Â
Pada jam 9 pagi waktu tempatan, bacaan PSI 24 jam ialah 89 di kawasan barat, 88 di timur, 78 di utara dan 75 di selatan.
PSI 24 jam dibangunkan sebagai petunjuk kualiti udara harian di Singapura dan merupakan bacaan yang menjadi asas kepada nasihat kesihatan harian NEA.
Ia dikira berdasarkan enam bahan pencemar udara, iaitu PM2.5, PM10, ozon, sulfur dioksida, nitrogen dioksida dan karbon monoksida.
Dalam kemas kini terbaharunya mengenai keadaan cuaca dan jerebu, NEA menyatakan di laman webnya bahawa banyak stesen pemantauan kualiti udara di Kalimantan, bahagian tengah, selatan Sumatera, Sabah dan Sarawak merekodkan tahap tidak sihat hingga berbahaya.
NEA menambah bahawa titik panas yang bertaburan hingga meluas dikesan di Kalimantan dan bahagian selatan serta tengah Sumatera.
Beberapa titik panas turut dikesan di kawasan lain di selatan ASEAN, di mana keadaan kering masih berterusan di banyak kawasan.
Indonesia, sebuah negara kepulauan yang luas, telah berusaha membendung kebakaran hutan selama beberapa minggu yang menyebabkan sekolah ditutup dan ribuan orang mendapatkan rawatan perubatan, manakala asap turut sampai ke negara jiran Malaysia serta Singapura. – AGENSI
The post Singapura capai kualiti udara tidak sihat appeared first on Utusan Malaysia.