13 premis dikompaun DBKL atas kesalahan membuang sampah

PETALING JAYA – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengeluarkan 13 kompaun kepada pemilik premis sekitar Desa Pandan ketika menjalankan Operasi Anti Litter, semalam.

Menurut DBKL, operasi tersebut dianggotai oleh kakitangan daripada Bahagian Alam Sekitar, Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL.

“Sebanyak empat kompaun telah dikeluarkan di bawah Seksyen 46(1)(d) atas kesalahan meletak, menyebab diletakkan barang-barang berhubung dengan Tred Perniagaan di tempat awam.

“Selain itu, tiga kompaun di bawah Seksyen 47(1)(a) atas kesalahan meletak, membuang, membenar, menyebab, diletak, dibuang habuk-habuk, kertas, abu, bangkai, sampah kotak, tong karung, lain-lain sampah sarap di tempat awam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, DBKL berkata, sebanyak enam kompaun telah dikeluarkan atas kesalahan di bawah Seksyen 47(1)(d) membuang sisa kotoran ke dalam longkang awam.

Dalam pada itu, DBKL mengingatkan semua peniaga agar tidak mengambil sikap sambil lewa mengenai isu kebersihan premis ketika menjalankan perniagaan.

“Kepada semua peniaga di luar sana, menjaga kebersihan merupakan salah satu tanggungjawab anda dalam menjalankan sebarang aktiviti perniagaan.

“Janganlah suka mengambil sikap sambil lewa dalam menjaga kebersihan di premis perniagaan anda,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post 13 premis dikompaun DBKL atas kesalahan membuang sampah appeared first on Kosmo Digital.

Related Articles