24 lombong haram di 10 negeri dibongkar, RM119 juta dirampas

33989a46 df86 4f18 b25a 12c812771a34 1024x683 1

33989a46 df86 4f18 b25a 12c812771a34

KUALA LUMPUR – Sebanyak 24 lombong haram dikesan menerusi Op Gali Mega yang dilaksanakan di 45 lokasi di 10 negeri membabitkan rampasan keseluruhan mencecah RM119 juta.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, operasi bersepadu sejak 19 hingga 23 Ogos lalu itu turut membawa kepada penahanan 99 individu atas pelbagai kesalahan.

Menurut beliau, semakan mendapati 38 daripada mereka adalah pendatang asing tanpa izin (PATI).

“Sebanyak 45 lokasi perlombongan diperiksa dan hasil pemeriksaan mendapati sebanyak 24 lombong haram dikesan, manakala 21 lombong mempunyai lesen yang sah,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Mohd. Yusri berkata, operasi itu disertai 728 pegawai dan anggota terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan sembilan agensi penguat kuasa lain.

Sebanyak 43 kesalahan dikesan melibatkan 14 peruntukan undang-undang, masing-masing tujuh di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan tujuh lagi di bawah peruntukan undang-undang Persekutuan.

Antara yang dirampas termasuklah 33,000 tan hasil bumi bernilai hampir RM21 juta, 55 buah kenderaan (RM14 juta), 87 jentera berat (RM38.7 juta) dan 194 peralatan melombong (RM44.3 juta).

Mohd. Yusri berkata, hasil bumi yang dirampas antaranya sebanyak 100 tan kaolin bernilai hampir RM60,000, 8,500 tan arang batu (RM4.2 juta), 313,500 tan kuari batu atau tanah (RM12 juta) serta 9,000 tan pasir (RM45 juta).

Operasi itu turut mengenal pasti seramai 32 individu dan 21 syarikat dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti perlombongan tersebut.

“Senarai individu dan syarikat terlibat diserahkan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk tindakan bagi mengesan kemungkinan berlaku ketirisan cukai,” katanya.

Katanya, pihaknya tidak menolak kemungkinan wujud rangkaian antara aktiviti perlombongan haram di beberapa negeri, namun perkara itu masih dalam siasatan.

Beliau berkata, terdapat lombong haram yang dipercayai telah beroperasi dalam tempoh antara tiga hingga lima tahun, namun tempoh sebenar setiap operasi hanya dapat ditentukan selepas siasatan lengkap.

Sabah merekodkan jumlah pemeriksaan tertinggi dengan 14 lokasi, diikuti Sarawak (tujuh), Pahang (enam), Selangor (empat), Terengganu dan Perak masing-masing tiga, Kelantan dan Kedah masing-masing dua manakala Johor satu.

Mohd. Yusri berkata, aktiviti perlombongan tanpa mematuhi prosedur bukan sahaja menyebabkan ketirisan hasil negara, malah berisiko menjejaskan alam sekitar termasuk menyumbang kepada kejadian banjir lumpur dan tanah runtuh.

“Kalau tidak mematuhi segala peraturan memang ada risiko alam sekitar, termasuk kepada kawasan tadahan hujan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post 24 lombong haram di 10 negeri dibongkar, RM119 juta dirampas appeared first on Kosmo Digital.

Related Articles