Bh23opscidb o bhfield image listing featured v2. Var 1716449534

CIDB laksana 1,528 operasi penguatkuasaan di tapak pembinaan

bhnews@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Sebanyak 1,528 operasi penguatkuasaan dijalankan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) di tapak pembinaan seluruh negara dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini.

Operasi dalam tempoh Januari hingga April lalu itu dijayakan secara bersepadu bersama lapan agensi berkaitan dengan 169 daripadanya membabitkan tapak pembinaan sekitar ibu negara.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata siri Operasi Penguatkuasaan Bersepadu (OPB) itu bertujuan melindungi keselamatan dan kesihatan pekerja serta memastikan bangunan yang dibina benar-benar kukuh dan selamat.

“Operasi dijalankan bukan untuk mendera atau menyusahkan kontraktor, tetapi supaya mereka maklum ada prosedur operasi standard (SOP) perlu dipatuhi bagi memastikan keselamatan pekerja, bangunan yang dibina betul-betul kukuh,” katanya.

Beliau yang ditemui pemberita ketika menyertai operasi tapak pembinaan di Bandar Baru Sri Petaling, di sini hari ini, berharap CIDB terus memantau kontraktor projek pembinaan bangunan dan infrastruktur awam.

Turut serta, Timbalan Ketua Eksekutif I CIDB, Razuki Ibrahim dan Pengarah CIDB Kuala Lumpur, Datuk Gerald Sundaraj.

Mengenai operasi hari ini, Ahmad menjelaskan, ia disertai 160 pegawai dari sembilan agensi, termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (JKKP) dan Jabatan Kesihatan dibuat tanpa sebarang notis.

“Kita buat serbuan tanpa notis, jika beri notis, tidak ada kesalahan yang akan ditemui. Mereka (kontraktor boleh) tutup tempat yang mempunyai nyamuk guna pasir dalam masa sejam,” katanya.

Menurutnya, pelbagai kesalahan dikesan dalam operasi itu, termasuk bahan binaan tidak memiliki piawaian ditetapkan CIDB yang berpotensi membahayakan keselamatan pekerja dan bangunan.

Dalam gerakan berkenaan, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) mengesan beberapa kesalahan boleh dikompaun, manakala Jabatan Kesihatan menemui lapan tempat pembiakan aedes.

“Bagi kesalahan tempat pembiakan nyamuk di tapak pembinaan, kompaun RM500 dikenakan. Secara keseluruhan dalam operasi hari ini, jumlah kompaun keseluruhan membabitkan kesalahan itu adalah RM4,000,” kata Ahmad.

Katanya, tapak pembinaan terbabit juga diarah menghentikan sementara operasi selama 14 hari kerana melanggar peraturan mengikut Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (Akta 520).

Sementara itu, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) juga mengesan sisa makanan dibiarkan bercampur dengan sisa binaan di tapak projek yang diperiksa.

“Kontraktor tak boleh kata tak tahu perkara yang boleh menyebabkan kompaun dikenakan kerana CIDB adakan kursus dari semasa ke semasa. Kita berharap kontraktor akan sentiasa melihat laman web CIDB untuk ketahui kursus yang dianjurkan.

“Ia boleh meningkatkan profesionalisme pekerja binaan. CIDB akan terus adakan kursus terutama di Akademi Binaan Malaysia (ABM),” kata Ahmad, turut mendedahkan ada tapak pembinaan mempunyai jalan keluar yang tidak dibenarkan.

“Kita tahu (pekerja) buat kerja-kerja pembinaan waktu siang, tetapi malam kita tak tahu mereka buat apa,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd