Bom Jangka: SWCorp ambil sampel bahan bukti, lengkapkan siasatan
![]()
JOHOR BAHRU – Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Johor mengambil sampel serta mengumpul bahan bukti di sebuah tapak sisa pepejal terkawal bagi melengkapkan kertas siasatan berhubung kegagalan penyewa tanah mematuhi notis pengalihan sisa.
Pengarah SWCorp Johor, Zainal Fitri Ahmad berkata, tindakan itu dilakukan selepas pemeriksaan lanjut dijalankan di lokasi berkenaan bagi mendapatkan bukti yang diperlukan sebelum siasatan diteruskan.
Katanya, kertas siasatan dibuka hari ini selepas pihaknya menjalankan pemeriksaan serta mengambil semua bahan bukti berkaitan kes berkenaan.
“Notis pengalihan di bawah Seksyen 75 Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) sudah diserahkan kepada penyewa tanah pada 18 Mei lalu.
“Pihak SWCorp memberikan tempoh dua minggu kepada penyewa tanah untuk melaksanakan kerja pembersihan di kawasan terbabit,” katanya.
Menurutnya, hasil lawatan kedua yang dijalankan pada 4 Jun lalu mendapati kerja pembersihan sudah dilaksanakan, namun penyewa tanah masih memohon tambahan masa untuk membersihkan keseluruhan kawasan.
Bagaimanapun, pemantauan pada 3 Ogos lalu mendapati tapak berkenaan masih belum dibersihkan sepenuhnya.
“Susulan itu, pihak SWCorp memberikan amaran tegas kepada penyewa tanah supaya kerja pembersihan dilaksanakan dengan segera.
“Kegagalan mematuhi notis berkenaan boleh menyebabkan tindakan diambil mengikut Seksyen 75 Akta 672,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini.
Zainal Fitri berkata, bahan bukti dan sampel yang diperoleh di lokasi kini akan diteliti bagi membantu pihaknya melengkapkan kertas siasatan sebelum menentukan tindakan selanjutnya.
Jelasnya, Seksyen 75 Akta 672 memperuntukkan kesalahan terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi notis untuk menghantar sisa pepejal terkawal dalam milikannya ke tapak pelupusan.
“Bagi kesalahan pertama, pesalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
“Kertas siasatan ini akan dilengkapkan berdasarkan bukti dan hasil pemeriksaan yang dijalankan sebelum tindakan susulan ditentukan,” katanya.
Kosmo! semalam melaporkan kira-kira 10,000 penduduk daripada empat kampung di Kempas berdepan risiko keselamatan apabila sebuah premis barangan lusuh di Jalan Kempas Lama-Seelong di sini dipercayai melakukan pembakaran terbuka hanya kira-kira 12 meter dari saluran paip gas.
Lebih membimbangkan, kegiatan pembakaran itu didakwa berlaku hampir setiap hari terutama pada waktu malam, menyebabkan penduduk hidup dalam kebimbangan sekiranya api merebak dan mencetuskan kejadian lebih buruk sehingga diibaratkan sebagai ‘bom jangka’.
Empat kampung yang terjejas kesan daripada pencemaran itu ialah Kampung Sri Aman, Kampung Tawakkal, Kampung Maju Jaya dan Kampung Sinaran Baru.-KOSMO! ONLINE
The post Bom Jangka: SWCorp ambil sampel bahan bukti, lengkapkan siasatan appeared first on Kosmo Digital.