Nik nazmi hari gaya hidup hijau e waste 1024x680 1

Dasar e-waste bakal digubal ekoran lonjakan sisa elektronik

Nik nazmi hari gaya hidup hijau e waste

PUTRAJAYA – Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) berhasrat mahu menggubal dasar khusus berkaitan pengurusan sisa elektronik atau e-waste kebangsaan.

Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, langkah tersebut amat perlu kerana ketika ini Malaysia belum ada sebarang polisi yang menyentuh isu berkenaan untuk rujukan awam.

Katanya, ia ekoran pihaknya menyedari berhubung peningkatan bahan-bahan ini terutama bateri daripada kenderaan elektrik (EV) generasi pertama yang perlu dikendalikan betul apabila dibuang.

“Insya-Allah saya akan membangkitkan dalam Kabinet mengenai keperluan untuk kita ada satu dasar berhubung isu kawal selia e-waste,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini selepas melancarkan Hari Gaya Hidup Hijau di sini hari ini.

Nik Nazmi berkata, ketika ini, sisa elektronik dikategorikan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) sebagai buangan terjadual dengan kod khas SW110 menurut Jadual Pertama Peraturan Kualiti Alam Sekeliling 2005.

“Ia perlu dilupus secara teratur kerana mengandungi komponen bahan kimia toksik seperti kadmium, raksa, plumbum, nikel, kromium, kuprum, lithium, perak dan bifenil terpoliklorin,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

The post Dasar e-waste bakal digubal ekoran lonjakan sisa elektronik appeared first on Kosmo Digital.