Whatsapp image 2024 01 04 at 6. 37. 38 pm 1024x683 1

Penghadang konkrit dipasang serta merta di lokasi nahas

Whatsapp image 2024 01 04 at 6. 37. 38 pm

MELAKA: Kerja-kerja pembesaran pembetung di Jalan Bukit Katil di sini dihentikan sementara waktu dan penghadang konkrit akan dibina serta merta bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan Melaka, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, siasatan lanjut di lokasi nahas akan diteruskan walaupun pihak kontraktor telah mematuhi semua aspek keselamatan ditetapkan.

Kata beliau, kontraktor hanya dibenarkan memulakan kerja setelah mendapat kebenaran daripada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Melaka.

“Pelan Pengurusan Trafik (TMP) telah selesai daripada segi kelulusan, tempoh dan syarat-syarat oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri. Namun, kita tetap akan buat siasatan bersama JKKP dan polis bagi mengenal pasti kelemahan yang ada sehingga menyebabkan berlakunya kemalangan.

“Hari ini (semalam) juga kita akan pasang penghadang konkrit. Pihak kontraktor perlu mendapatkan kelulusan daripada JKKP dahulu sebelum menyambung semula kerja,” katanya dalam sidang akhbar selepas meninjau lokasi nahas kemalangan maut di Jalan Bukit Katil, semalam.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, kemalangan maut membabitkan tiga motosikal yang terbabas ke dalam parit di Jalan Bukit Katil dipercayai berpunca daripada tindakan orang awam mengalihkan kon penghadang jalan yang diletakkan kontraktor.

Dalam kejadian pukul 6.30 pagi itu, mangsa, Haiqal Iman Mohd. Shahruddin Abdul Qayyum, 20, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Tambah Hameed Mytheen, JKR akan meningkatkan tahap keselamatan di lokasi kerja-kerja penyelenggaraan susulan nahas tersebut.

Menurutnya, antara kaedah yang akan dilaksanakan adalah menambah baik TMP, meningkatkan sistem pencahayaan jalan dan memastikan tiada gangguan melibatkan kon atau penghadang jalan diletakkan.

“Susulan nahas ini, JKR akan mengambil langkah pencegahan yang lebih proaktif dengan meningkatkan tahap keselamatan pengguna jalan raya termasuk aspek pelan trafik, pencahayaan dan tiada gangguan kon,” ujarnya. – UTUSAN

The post Penghadang konkrit dipasang serta merta di lokasi nahas appeared first on Utusan Malaysia.