ESG semakin penting, graduan perlu bersedia hadapi tuntutan industri
![]()
SHAH ALAM: Keperluan menguasai kompetensi berkaitan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) semakin penting dalam dunia pekerjaan, sekali gus menuntut institusi pendidikan tinggi melahirkan graduan yang bukan sahaja berkelayakan akademik tetapi memahami agenda kelestarian.
Perkara itu antara fokus utama SDG-ESG Synergy Symposium: Leading Change for People, Planet and Prosperity anjuran Management and Science University (MSU) dengan kerjasama Times Higher Education (THE) di kampus induk MSU, di sini, pada 3 dan 4 September lalu.
Simposium dua hari itu menghimpunkan wakil akademik, kerajaan, industri serta pemegang taruh untuk membincangkan bagaimana Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan prinsip ESG boleh diterjemahkan kepada perubahan yang lebih bermakna.
Antara isu yang diketengahkan ialah peningkatan permintaan terhadap kemahiran berkaitan ESG dalam pasaran pekerjaan serta peranan universiti dan industri menyediakan graduan untuk menghadapi persekitaran kerja yang semakin memberi penekanan kepada kelestarian.
“Perkembangan itu menunjukkan ESG bukan lagi sekadar agenda korporat atau alam sekitar, sebaliknya semakin berkait dengan pembangunan modal insan, strategi perniagaan dan cara organisasi membuat keputusan.
“Bagi institusi pendidikan tinggi, cabarannya adalah memastikan pengetahuan berkaitan kelestarian tidak hanya kekal dalam bilik kuliah, sebaliknya dapat diterapkan dalam penyelesaian masalah sebenar yang dihadapi industri dan masyarakat,” menurut MSU dalam kenyataan.
Simposium berkenaan turut memberi tumpuan kepada empat aspek utama iaitu amalan ESG, impak alam sekitar, impak sosial dan impak tadbir urus, selain sesi plenari, perbincangan meja bulat dan perkongsian daripada pakar tempatan serta antarabangsa.
Antaranya Pengarah Bahagian Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) Industri, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Shireen Jasmin Ali; Pengarah Urusan, Strategi dan Operasi, AFFIN Group, Jozaimah Johan Ali; Pengarah Eksekutif Tanggungjawab Sosial dan Penglibatan Sivik University of Manchester, Dr. Julian Skyrme serta Pro-Naib Canselor Western Sydney University, Prof. Dr. Amir Mahmood.
Presiden Times Higher Education bagi rantau Asia-Pasifik (APAC), Mei Mei Lim turut menyertai perbincangan, selain Pro-Canselor MSU, Prof. Emeritus Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang yang terlibat dalam sesi berkaitan tadbir urus berimpak.
Presiden dan Pengasas MSU, Prof. Tan Sri Dato’ Wira Dr. Mohd Shukri Ab Yajid merasmikan simposium tersebut.
Dalam pada itu, MSU berkata komitmennya terhadap agenda SDG turut diterjemahkan menerusi 950 inisiatif berkaitan SDG yang didokumentasikan antara 2022 hingga 2025, termasuk 81 projek antarabangsa dan 92,000 penglibatan komuniti.
Menerusi Community Outreach Programme (COP), MSU turut menyantuni 2,408 keluarga antara 2023 hingga 2025, manakala Yayasan MSU menyediakan biasiswa berjumlah RM50 juta setiap tahun bagi memperluas akses kepada pendidikan berkualiti.
Namun, penglibatan institusi pendidikan dalam agenda ESG bukan sekadar diukur melalui jumlah program yang dilaksanakan, sebaliknya sejauh mana usaha itu menghasilkan impak yang boleh diukur dan berkekalan.
Dalam konteks industri, penguasaan prinsip ESG pula dilihat semakin relevan ketika majikan berdepan tuntutan baharu daripada pelabur, pengguna, pekerja dan masyarakat supaya operasi organisasi lebih bertanggungjawab.
Justeru, kerjasama antara universiti, kerajaan dan industri diperlukan bagi memastikan agenda kelestarian diterjemahkan kepada kemahiran, inovasi dan penyelesaian praktikal yang mampu memberi manfaat kepada masyarakat serta ekonomi. –UTUSAN
The post ESG semakin penting, graduan perlu bersedia hadapi tuntutan industri appeared first on Utusan Malaysia.