Green Guardian pupuk generasi peka, bijak tenaga
KUALA LUMPUR – Pameran interaktif, Green Guardian di Pusat Sains Negara bertujuan memupuk generasi muda khususnya dalam kalangan pelajar agar memahami dan mengguna tenaga secara bijak.
Inisiatif Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan kerjasama Yayasan Hijau Malaysia ini adalah antara usaha Malaysia Energy Literacy Program (MELP) yang berhasrat memberi akses kepada orang ramai terhadap ilmu kecekapan tenaga, tenaga boleh baharu dan penjanaan tenaga.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, pelbagai produk pandang dengar (audio visual) sebagai bahan pendidikan dipersembahkan dalam bentuk mudah difahami, sesuai dengan generasi muda.
Ujarnya, objektif khusus program MELP ini adalah untuk melonjakkan kepekaan dan pengetahuan rakyat mengenai industri bekalan elektrik ke tahap yang lebih tinggi.
“Kumpulan sasarnya tertumpu kepada pelajar sekolah, pelajar institusi pengajian tinggi, pengamal media dan orang awam secara amnya.
“Melalui MELP, rakyat diberi pendedahan terhadap tenaga boleh baharu, amalan cekap tenaga dalam urusan seharian, pilihan mobiliti hijau, mekanisme tarif, pengebilan dan krisis tenaga global.
“Maka hasilnya, rakyat akan sentiasa mengetahui apa jua inisiatif peluasan tenaga boleh baharu, pendigitalan dan pemodenan sistem tenaga, serta penggunaan teknologi hijau bagi meningkatkan tenaga lestari,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program Kesedaran dan Peka Tenaga di Pusat Sains Negara, di sini, hari ini.
MELP merupakan inisiatif bersepadu pelbagai pihak termasuk Suruhanjaya Tenaga (ST), Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA Malaysia), TNB, Malaysian Green Technology Corporation (MGTC), Yayasan Hijau Malaysia, MyPower dan agensi-agensi berkaitan.
MELP asalnya diperkenalkan oleh TNB pada Disember tahun 2020 dan dilancarkan pada 1 Mac tahun lalu oleh Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim ketika itu, sekali gus mengangkat MELP menjadi agenda nasional.
Dalam pada itu, Akmal Nasrullah turut berkata, kementeriannya akan mengadakan perbincangan lebih lanjut dengan pihak Kementerian Pendidikan (KPM) untuk menggalakkan lagi kerjasama antara sekolah-sekolah untuk datang ke pameran ini.
Katanya, negara perlukan pengguna yang bukan sekadar tahu memetik suis elektrik, tetapi juga memahami kepentingan kemampanan tenaga kepada bumi dan kehidupan manusia.
“Pusat Sains Negara sememangnya menjadi tumpuan para pelajar khususnya pada musim cuti sekolah. Melalui TNB pula, sudah ada jalinan kerjasama dengan pihak-pihak sekolah untuk mengadakan rombongan sambil belajar ke Green Guardian ini.
“Kita akan adakan perbincangan lanjut dengan KPM untuk membantu pemahaman tenaga kepada generasi muda. Tapi apa pun, segala ketetapan itu di pihak kementerian (KPM) dulu.
“Jadi saya harap pameran yang dibuka setiap hari sehingga hujung tahun hadapan ini dapat diuar-uarkan kepada semua masyarakat,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
The post Green Guardian pupuk generasi peka, bijak tenaga appeared first on Kosmo Digital.