Hartalega 1024x632 1

Hartalega tetapkan tanda aras ESG industri sarung tangan

Hartalega

PETALING JAYA – Hartalega Holdings Berhad (Hartalega) menetapkan tanda aras ESG (alam sekitar, sosial dan tadbir urus) baharu bagi industri sarung tangan setelah menjadi pengeluar pertama yang mendedahkan jejak karbon terperinci bagi produknya.

Berdasarkan kajian penilaian kitaran hayat (LCA) sulung yang dijalankan syarikat, produk Sarung Tangan Biorosot Nitril BDG 3.5g Hartalega membebaskan emisi bersamaan 0.034073 kg karbon dioksida sekeping.

Sementara Sarung Tangan Nitril Standard 3.2g dan Sarung Tangan Disalut Emping Oat Berkoloid COATS 3.2g masing-masing membebaskan emisi bersamaan 0.034073 dan 0.034078 kg karbon dioksida sekeping.

Berbekalkan data dari Julai 2021 hingga Jun 2022, kajian LCA itu mematuhi piawaian ISO 14040 dan ISO 14044 antarabangsa, meliputi kitaran hayat daripada pemerolehan bahan mentah kepada pengeluaran sarung tangan siap yang dihasilkan di kilang-kilang Hartalega.

Ketua Pegawai Eksekutif Hartalega Kuan Mun Leong berkata, ketelusan tentang tahap emisi karbon penting untuk menambah baik dan mempercepatkan inisiatif kelestarian syarikat. 

“Penilaian kitaran hayat memberikan maklumat asas untuk kami mengenal pasti peluang selanjutnya bagi mengurangkan emisi dan meningkatkan kecekapan sumber di seluruh operasi dan rantaian bekalan kami. 

“Kami akan terus menaik taraf pelaksanaan amalan ESG terbaik dalam sektor pembuatan sarung tangan,” katanya dalam kenyataan.

The post Hartalega tetapkan tanda aras ESG industri sarung tangan appeared first on Kosmo Digital.