Ibu bapa dibenar tak hantar anak ke sekolah akibat jerebu

23383ffb sekolah rendah fmt 1425
Sekolah rendah
Menteri pendidikan fadhlina sidek berkata ibu bapa hanya perlu memaklumkan pihak sekolah jika tidak menghantar anak ke sekolah atas faktor kesihatan.

KUALA LUMPUR: Ibu bapa dibenarkan tidak menghantar anak ke sekolah sekiranya bimbang aspek kesihatan mereka susulan situasi jerebu ketika ini.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata ibu bapa hanya perlu memaklumkan pihak sekolah jika mengambil langkah itu.

“Saya faham kebimbangan ibu bapa melihat keadaan jerebu ketika ini. Kebimbangan ibu bapa kita dengar. Kesihatan dan keselamatan anak-anak tetap menjadi keutamaan dalam setiap tindakan yang kita ambil,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Beliau berkata, kementerian akan terus memantau bacaan indeks pencemaran udara (IPU) yang dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan situasi semasa, khususnya di kawasan terjejas.

Jelasnya, sebarang tindakan akan diambil berdasarkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan.

“Apabila IPU melebihi 100, semua aktiviti luar bilik darjah dihentikan. Apabila IPU melebihi 200, sekolah ditutup.”

Menurut portal Sistem Pengurusan IPU JAS, hanya Samarahan dan Serian di Sarawak merekodkan bacaan IPU sangat tidak sihat, iaitu 236 serta 222 setakat 12.30 tengah hari ini.

Kualiti udara 40 kawasan di seluruh negara pada tahap tidak sihat dan 25 lagi mencatatkan bacaan IPU sederhana.

Related Articles