IPU lebih 200, sekolah ditutup – Fadhlina
![]()
PETALING JAYA – Semua aktiviti luar bilik darjah akan dihentikan sekiranya bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 100, manakala sekolah akan ditutup apabila bacaan melebihi 200.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, tindakan berhubung keadaan jerebu dilaksanakan berdasarkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan dengan bacaan IPU yang dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) menjadi rujukan rasmi.
Menurut beliau, ibu bapa yang bimbang terhadap kesihatan anak-anak juga dibenarkan untuk tidak menghantar mereka ke sekolah dengan memaklumkan perkara itu kepada pihak sekolah.
“Saya faham kebimbangan ibu bapa melihat keadaan jerebu ketika ini.
“Tindakan ketika jerebu dibuat berdasarkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan, dengan bacaan IPU yang dikeluarkan JAS sebagai rujukan rasmi,” katanya.
Beliau berkata, Kementerian Pendidikan akan terus memantau bacaan IPU dan keadaan semasa dari semasa ke semasa, khususnya di kawasan yang terjejas.
“Kebimbangan ibu bapa kita dengar. Kesihatan dan keselamatan anak-anak tetap menjadi keutamaan dalam setiap tindakan yang kita ambil,” katanya.-KOSMO! ONLINE
The post IPU lebih 200, sekolah ditutup – Fadhlina appeared first on Kosmo Digital.