Imigresen re

Imigresen rekod jumlah aduan isu integriti tertinggi

Imigresen re

PETALING JAYA: Jabatan Imigresen Malaysia merekodkan jumlah aduan tertinggi membabitkan isu pelanggaran integriti iaitu sebanyak 45 laporan sepanjang tahun 2023.

Berdasarkan laporan dikeluarkan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) sebanyak 529 aduan membabitkan isu pelanggaran integriti diterima pihaknya sepanjang tahun lalu.

Dalam laporan yang dimuatnaik ke laman sesawang www.eaic.gov.my itu menunjukkan antara agensi lain yang turut diadukan kepada pihaknya adalah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebanyak 27 laporan diikuti Jabatan Kastam (17) dan Jabatan Perikanan (14).

Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) masing-masing dengan 13 aduan manakala penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara (KPDN) (11).

Agensi menerima kurang daripada 10 aduan membabitkan Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM).

EAIC menyelia sebanyak 21 agensi penguatkuasaan kecuali Polis Diraja Malaysia (PDRM), untuk melaksanakan fungsi dan peranannya seperti yang diperuntukkan mengikut Akta EAIC 2009.

Mengikut Subseksyen 4(1), antaranya menerima aduan salah laku daripada orang ramai terhadap pegawai penguat kuasa atau sesuatu agensi penguatkuasaan secara amnya dan menyiasat serta mengadakan sesi pendengaran.

Menurut Seksyen 23(2) Akta 700, aduan boleh dibuat secara bertulis melalui e-Aduan atau e-mel atau surat atau hadir sendiri ke kaunter aduan dan pusat khidmat pelanggan EAIC.

Sementara itu, dalam laporan yang boleh diakses oleh orang awam itu turut memaparkan pecahan aduan isu pelanggaran integriti diterima EAIC mengikut negeri.

Selangor menjadi negeri tertinggi dengan 142 aduan, diikuti Kuala Lumpur (95), Johor 60), Perak (41), Pulau Pinang (39), Sabah (31), Kedah (26), Putrajaya (24), Kelantan (22), Negeri Sembilan (18), Terengganu (10), Melaka (8), Sarawak (7), Perlis (4) dan Labuan (2). – UTUSAN

The post Imigresen rekod jumlah aduan isu integriti tertinggi appeared first on Utusan Malaysia.