Jerebu: 17 kawasan catat IPU tak sihat, Sri Aman tertinggi

265117a5 9915 4023 9da7 a823a089105b jerebu sarawak bernama pic 20826
265117a5 9915 4023 9da7 a823a089105b jerebu sarawak bernama pic 20826
Setakat 8 pagi tadi, sri aman di sarawak merekodkan bacaan ipu tertinggi 167, diikuti ipd serian (166) dan samarahan (162). (gambar bernama)

KUALA LUMPUR: Sebanyak 17 kawasan di enam negeri dan dua Wilayah Persekutuan merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat, setakat 8 pagi ini.

Berdasarkan data portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS), tiga kawasan di Sarawak mencatatkan kualiti udara tidak sihat, dengan Sri Aman merekodkan bacaan IPU tertinggi 167, diikuti IPD Serian (166) dan Samarahan (162).

Lima kawasan di Selangor turut mencatatkan bacaan melebihi 100, iaitu Johan Setia dan Shah Alam masing-masing dengan IPU 158, Klang (151), Banting (144) dan Petaling Jaya (123).

Di Kuala Lumpur, dua kawasan merekodkan bacaan IPU tidak sihat iaitu Cheras (159) dan Batu Muda (152), manakala Nilai (162) dan Seremban (158) bagi Negeri Sembilan.

Lima lagi kawasan merekodkan tahap IPU tidak sihat ialah Putrajaya (159); Tangkak, Johor (153), Bukit Rambai (143) dan Alor Gajah (128) di Melaka; serta Taiping, Perak (108).

Selain itu, 49 kawasan di seluruh negara merekodkan kualiti udara pada tahap sederhana, dua kawasan mencatatkan bacaan baik, manakala tiada kawasan mencatatkan bacaan sangat tidak sihat atau berbahaya setakat pagi ini.

Bacaan IPU sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat dan IPU melebihi 300 adalah berbahaya.

Data IPU dikeluarkan setiap jam berdasarkan rekod catatan di 68 stesen pengawasan kualiti udara di seluruh negara.

Related Articles