Jerebu mula ‘menyerang’, sembilan kawasan catat IPU tidak sihat

Jerebu jangkitan 1 1 1024x661 1

Jerebu jangkitan 1 1

PETALING JAYA – Jerebu mula menunjukkan ‘taring’ apabila sembilan kawasan di seluruh negara merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat petang ini.

Berdasarkan Berdasarkan paparan Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS), Sri Aman, Sarawak mencatatkan bacaan IPU tertinggi iaitu 157, diikuti IPD Serian dengan bacaan 156.

Cheras, Kuala Lumpur pula merekodkan IPU 154 manakala Johan Setia, Selangor mencatatkan bacaan 151.

Turut berada pada tahap tidak sihat ialah Nilai, Negeri Sembilan dengan IPU 123, Putrajaya (122), Shah Alam, Selangor (112), Batu Muda, Kuala Lumpur (109) dan Seremban, Negeri Sembilan (101).

Sementara itu, puluhan kawasan lain masih berada pada tahap sederhana dengan Sungai Petani, Kedah merekodkan bacaan tertinggi dalam kategori itu iaitu 98, diikuti Tanjung Malim, Perak (97), Seberang Perai, Pulau Pinang (96) dan Petaling Jaya, Selangor (93).

Antara kawasan di Sarawak yang merekodkan IPU sederhana ialah Kuching (87), Bintulu (86), Sarikei (85), Samalaju (84), Miri (81), ILP Miri (78), Mukah (73) dan Sibu (71).

Situasi itu selari dengan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) yang memaklumkan rantau negara dijangka menerima pengaruh angin barat daya sepanjang minggu ini.

Menurut MetMalaysia, berdasarkan ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC), bilangan titik panas masih kekal tinggi di selatan Sumatera dan barat Kalimantan.

“Keadaan itu berpotensi mengakibatkan cuaca berjerebu dan jarak ketampakan rendah di Sarawak serta barat Semenanjung dalam tempoh ramalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mengikuti perkembangan menerusi laman web dan media sosial rasmi MetMalaysia serta aplikasi myCuaca bagi mendapatkan maklumat terkini dan sahih. – KOSMO! ONLINE

The post Jerebu mula ‘menyerang’, sembilan kawasan catat IPU tidak sihat appeared first on Kosmo Digital.

Related Articles