Tiada Perarakan Hari Kebangsaan di Pulau Pinang jika jerebu berterusan

Whatsapp image 2026 08 27 at 14. 28. 28 1024x751 1

Whatsapp image 2026 08 27 at 14. 28. 28

GEORGE TOWN : Perarakan sempena Hari Kebangsaan peringkat negeri di Padang Kota Lama di sini mungkin tidak diteruskan sekiranya bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencecah 200 dan ke atas.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, ketika ini, keadaan jerebu sedang dipantau secara dekat memandangkan sambutan Hari Kebangsaan membabitkan aktiviti yang dilakukan di kawasan terbuka.

“Ini (keadaan jerebu) juga satu perkara yang membimbangkan saya. Oleh kerana perarakan Hari Kebangsaan diadakan di kawasan yang terbuka, maka, kita perlu memantau keadaan ini dengan sangat teliti.

“Jika bacaan IPU mencecah 200 dan ke atas, mungkin lebih baik kita tidak meneruskannya. Tetapi, masih ada beberapa hari lagi dan kita akan terus memantau dari semasa ke semasa,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Sementara itu, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri juga tidak bercadang untuk memindahkan perarakan Hari Kebangsaan di kawasan Padang Kota Lama itu ke dewan tertutup buat masa ini seandainya jerebu bertambah buruk.

“Kalau ia dibawa ke stadium sekali pun, itu adalah kawasan yang terbuka juga sebenarnya. Jadi, ini adalah satu perkara yang perlu kita pertimbangkan dengan sebaiknya,” katanya.

Ketika diminta mengulas mengenai isu penggubalan Akta Jerebu Rentas Sempadan yang sudah dibincangkan sejak sekian lama pula, Kon Yeow berkata, keberkesanan undang-undang berkenaan perlu menjadi keutamaan sekiranya ia mahu dilaksanakan.

Menurut beliau, sesuatu undang-undang boleh sahaja digubal sama ada di peringkat nasional mahupun serantau tetapi persoalan utama adalah, sejauh mana peruntukan tersebut mampu menangani masalah jerebu rentas sempadan secara berkesan.

“Akta Jerebu Rentas Sempadan ini, sama seperti yang saya katakan, undang-undang boleh digubal sama ada di peringkat nasional atau serantau, tetapi isunya ialah sama ada ia berkesan atau tidak,” katanya.

Untuk rekod, sehingga pukul 2 petang ini, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang direkodkan di keempat-empat stesen pengawasan kualiti udara automatik di Pulau Pinang adalah pada tahap sederhana iaitu antara 64 sehingga 97.-UTUSAN

The post Tiada Perarakan Hari Kebangsaan di Pulau Pinang jika jerebu berterusan appeared first on Utusan Malaysia.

Related Articles