Jerebu rentas sempadan jejas Sarawak dibawa ke Asean

PETALING JAYA: Isu jerebu rentas sempadan di Sarawak perlu terus dibincangkan di peringkat Asean melalui Jawatankuasa Pemandu Peringkat Menteri Subrantau mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan bagi mencari penyelesaian terbaik, sekali gus mengurangkan impaknya.
Timbalan Premier Sarawak Douglas Uggah Embas, berkata Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam yang mewakili Malaysia dalam jawatankuasa berkenaan akan mengusulkan cadangan untuk mendepani isu itu.
“Kita perlu berhati-hati kerana kawasan seperti Kuala Baram sekiranya berlaku kebakaran hutan, asapnya akan menjejaskan Brunei…jadi semua isu berkaitan akan dibincangkan dalam jawatankuasa ini sebelum disalurkan kepada kementerian berkaitan.
“Pihak kementerian akan membawa isu dan masalah yang kita hadapi serta mencari jalan penyelesaian bagi mengurangkan kesannya,” katanya menurut Bernama selepas hadir majlis penyampaian hadiah Pertandingan Kraftangan Peringkat Negeri, di Kuching.
Dalam pada itu, Uggah yang juga pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, berkata pihaknya telah menghantar permohonan untuk pelaksanaan operasi pembenihan awan dan sedang meneliti masa sesuai untuk operasi berkenaan.
Semalam, beliau dilaporkan berkata, inisiatif pembenihan awan itu diambil bagi menghadapi fenomena cuaca panas dan kering berpanjangan yang berpotensi menjejaskan sumber bekalan air serta memburukkan keadaan jerebu di beberapa kawasan.
Sejak 8 Ogos, jerebu rentas sempadan mula melanda beberapa kawasan di Sarawak susulan corak angin semasa yang membawa asap daripada titik panas di wilayah jiran ke negeri ini.
Kawasan yang merekodkan bacaan indeks pencemaran udara (IPU) pada kategori sangat tidak sihat ialah Kuching, Samarahan, Sri Aman, Sarikei, Sibu, Bintulu, Samalaju, dan Miri.