Sarawak sedia isytihar darurat jika jerebu capai tahap kritikal

8d6b599f ef83 4943 928e 4d1fa45e9691 haze jerebu kuching bernama 300826
Haze jerebu kuching sarawak
Timbalan premier sarawak douglas uggah embas berkata, keputusan mengadakan atau membatalkan acara terpulang kepada penganjur, kecuali ada arahan daripada pihak berkuasa. (gambar bernama)

PETALING JAYA: Sarawak bersedia mengisytiharkan darurat jika pencemaran udara akibat jerebu mencapai tahap kritikal, susulan pembatalan sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri, kata Timbalan Premier Douglas Uggah Embas.

Uggah yang mempengerusikan jawatankuasa pengurusan bencana negeri berkata, garis panduan bagi menangani jerebu telah disediakan.

“Jika indeks pencemaran udara (IPU) melebihi 500, garis panduan sedia ada memperuntukkan pejabat sektor awam serta swasta ditutup, kecuali perkhidmatan penting, sementara menunggu pengisytiharan darurat bencana oleh jawatankuasa pengurusan bencana kebangsaan,” katanya, lapor The Borneo Post.

Jawatankuasa itu sedang bekerjasama rapat dengan agensi negeri dan persekutuan yang berkaitan, katanya.

Uggah turut berkata, sebarang keputusan sama ada untuk meneruskan, menangguhkan atau membatalkan sesuatu acara kekal di bawah budi bicara penganjur, melainkan jika arahan khusus dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

“Orang ramai juga mempunyai budi bicara untuk buat keputusan sama ada mahu sertai atau tidak,” tambahnya.

Menurut Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar, Sarawak mungkin terus berdepan jerebu dalam tempoh beberapa hari akan datang jika pembakaran biojisim di luar sempadan negeri itu meningkat.

Darurat jerebu pernah diisytiharkan di Kuching pada September 1997 apabila bacaan pencemaran udara mencecah 650.

Premier Sarawak Abang Johari Openg sebelum ini berkata, keputusan membatalkan sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri dibuat berikutan jerebu yang menjejaskan sebahagian besar kawasan di Sarawak. Sambutan itu pada asalnya dijadualkan berlangsung di Kapit.

Related Articles