Jerebu tak sudah, KJ bidas ‘republik pisang’ Indonesia

992b4b64 dbef 45da 950a 37228e1690b1 indonesia fire epa images pic 040926 1
Indonesia fire
Sebelum ini, kumpulan alam sekitar indonesia, walhi, menyatakan kebakaran di negara itu sebahagian besar berpunca aktiviti pembersihan hutan bagi memberi laluan kepada ladang kelapa sawit, perlombongan, dan aktiviti pembersihan tanah lain. (gambar epa images)

PETALING JAYA: Bekas menteri, Khairy Jamaluddin membidas Indonesia kerana terus gagal mencegah kebakaran hutan dan tanah di Kalimantan, menjurus krisis jerebu teruk melanda Malaysia, terutama Sarawak.

Khairy menyalahkan kebakaran itu atas penguatkuasaan lemah di lapangan oleh pihak berkuasa Indonesia, serta rekod negara itu yang turut lemah melakukan pendakwaan bagi kesalahan alam sekitar.

“Saya minta maaf lebih awal kepada teman-teman di Indonesia adalah kerana malangnya kita hidup berjiran dengan satu negara yang betul-betul negara dunia ketiga.

“Saya tidak kata bahawa kita tidak ada masalah dari segi penguatkuasaan, tetapi ini benar-benar sebuah ‘republik pisang’,” katanya dalam episod terbaharu audio siar Keluar Sekejap.

Bekas Ahli Parlimen Rembau itu, berkata pendakwaan kesalahan alam sekitar seperti pembersihan tanah melalui pembakaran terbuka kerap mengambil masa bertahun lamanya, manakala tindak balas Jakarta terhadap isu tersebut agak pasif-reaktif.

“Dia buat pemadaman kebakaran dan penyemaian awan sementara punca sebenar seperti penguatkuasaan yang lemah, kekebalan korporat mereka yang tidak ada tindakan ataupun tak banyak tindakan, dan amalan pembukaan tanah secara murah, pembersihan masih dibuat seperti biasa,” katanya.

Sebelum ini, kumpulan alam sekitar Indonesia, Walhi, berkata kebakaran di Indonesia sebahagian besarnya berpunca daripada pembersihan hutan bagi memberi laluan kepada ladang kelapa sawit, perlombongan, dan aktiviti pembersihan tanah lain.

NGO itu berkata, keadaan tersebut menyebabkan tanah menjadi kering dan mudah terbakar, manakala fenomena El Nino memburukkan lagi situasi.

Kualiti udara di Serian, Sarawak, mencapai tahap darurat apabila indeks pencemaran udara (IPU) mencecah 521.

Asean gagal tangani jerebu

Khairy turut mengkritik Asean kerana gagal menguruskan isu berulang jerebu yang menjejaskan kesihatan ratusan juta penduduk di Asia Tenggara.

Bekas ketua Pemuda Umno itu, berkata Perjanjian Jerebu Rentas Sempadan blok serantau yang turut ditandatangani Jakarta, tidak mempunyai taring mahupun elemen penguatkuasaan atau kebertanggungjawaban membendung isu jerebu.

“Perjanjian ini dibina atas kerjasama, perkongsian maklumat, pembinaan kapasiti, contohnya latihan untuk bomba bersama kerjasama penguatkuasaan, program penyelidikan saintifik tanpa apa-apa rejim sekatan, ataupun penalti ataupun hukuman kepada negara dan juga syarikat yang terlibat daripada negara lain.

“Ini bermakna kita tidak boleh mengambil tindakan terhadap syarikat di mana jerebu itu berlaku,” katanya sambil menyatakan satu lagi isu adalah prinsip tidak campur tangan dalam kalangan negara Asean.

Khairy turut merujuk Malaysia dan Singapura pernah cuba menguatkuasakan undang-undang jerebu rentas sempadan sebelum ini dengan membenarkan tindakan sivil diambil terhadap syarikat yang mempunyai kaitan dengan kebakaran hutan dan tanah.

Namun, beliau berkata, penguatkuasaan ke atas syarikat di Indonesia sebahagian besarnya sekadar bersifat simbolik.

“Masalah ini sebagai masalah acara tahunan yang saya tidak nampak penyelesaian dan noktahnya,” katanya.

Related Articles