Kurangkan pecah kelapa ketika Thaipusam elak bazir wang

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa penganut Hindu yang bakal melakukan upacara memecahkan kelapa sempena Thaipusam nanti mengurangkan aktiviti tersebut bagi mengelak pembaziran wang.

Pegawai Pendidikan CAP, N.V Subbarow berkata, wang yang digunakan untuk memecahkan kelapa itu sebaiknya disalurkan bagi memenuhi pelbagai keperluan masyarakat India terutamanya golongan B40.

“CAP telah membuat tinjauan harga kelapa secara rawak pada tahun ini sempena Thaipusam dan penjual kelapa di Pulau Pinang mendakwa terdapat kekurangan bekalan kelapa tahun ini.

“Harga pasaran kelapa ialah RM1.60 sebiji, semasa Thaipusam harga dijangka meningkat daripada RM2.20 kepada RM2.50.

“Oleh itu, kami berpandangan tindakan menghabiskan wang untuk membeli beribu-ribu kelapa dan memecahkannya dianggap tidak bijak lebih-lebih lagi dengan keadaan ekonomi sekarang,” katanya di sini, hari ini.

Seramai 1 juta penganut agama Hindu dijangka membanjiri Pulau Pinang bagi menyambut perayaan Thaipusam yang bermula esok hingga Jumaat ini, di negeri ini.

Menurut Subbarow, upacara memecah kelapa semasa Thaipusam adalah upacara pembersihan yang diamalkan oleh penganut Hindu.

Tambahnya, upacara memecahkan kelapa telah sebati di dalam hati setiap penganut Hindu, namun ia hendaklah dilaksanakan dengan cara yang betul iaitu dengan memecahkan sebiji kelapa dan ia harus dilakukan dengan penuh keinsafan.

“Ramai penganut kurang mengetahui sebab-sebab di sebalik upacara pecah kelapa ini. Mereka berfikir bahawa lebih banyak kelapa yang dipecahkan, lebih banyak tuah dilimpahkan kepada mereka.

“Mereka memecahkan beribu-ribu kelapa setiap tahun yang berakhir di tapak pelupusan dan dibakar sekali gus mencemarkan alam sekitar. Perbuatan ini sendiri sudah pasti tidak disukai tuhan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

The post Kurangkan pecah kelapa ketika Thaipusam elak bazir wang appeared first on Kosmo Digital.

Related Articles