Kajian TMDL kenal pasti punca perubahan air
![]()
IPOH – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak mencadangkan kajian Beban Harian Maksimum Total (TMDL) di kawasan Hulu Perak bagi mengenal pasti dan memetakan semua sumber berpotensi yang menyumbang kepada perubahan kualiti air dan peningkatan tahap mineral di Sungai Rui.
Pegawai Kanan Kawalan Alam Sekitar JAS Perak, S. Pravin berkata, kajian itu mampu menyediakan data teknikal yang diperlukan kerajaan negeri untuk membuat keputusan selain merangka langkah secara tersusun bagi mengawal sebarang pencemaran atau peningkatan beban bahan dari peringkat sumber.
Katanya, kajian itu tidak terhad kepada aktiviti perlombongan, tetapi mengenal pasti semua punca yang mungkin terdapat di sepanjang sungai serta pihak atau agensi yang bertanggungjawab.
“Melalui kajian ini, kita boleh memetakan semua sumber di sepanjang sungai bukan sahaja aktiviti perlombongan dan mengenal pasti agensi yang bertanggungjawab.
“Cadangan itu dibentangkan kepada Lembaga Pengurusan Sumber Air Perak yang dijangka menyediakan kertas kerja bagi mendapatkan peruntukan bagi kajian tersebut,” katanya.
Pravin berkata, keperluan untuk menilai secara menyeluruh itu turut mengambil kira kejadian sama yang pernah direkodkan pada tahun 2018 dan 2019 walaupun ketika itu tidak didokumentasikan secara menyeluruh.
“Apa yang diperlukan adalah data teknikal supaya kerajaan negeri boleh membuat keputusan yang tepat bagi mengawal isu ini pada masa akan datang” kata beliau.
Jelas Pravin, pendekatan TMDL penting bagi mengelakkan sesuatu kejadian dikaitkan secara langsung kepada satu aktiviti tanpa mengetahui sumbangan sebenar setiap sumber di sepanjang kawasan tadahan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pakar Scieno TW Sdn. Bhd., Dr. Abdul Rani Abdullah berkata, audit secara menyeluruh perlu dilakukan ke atas syarikat perlombongan di Hulu Perak bagi mengesan kelemahan sistem pengurusan air dan pelepasan sisa buangan.
Katanya, audit itu perlu membabitkan analisis jurang bagi memastikan sistem pengurusan yang sepatutnya diwujudkan telah dilaksanakan.
“Jadi yang pertama, audit secara komprehensif dengan terma rujukan yang jelas untuk mengenal pasti apa yang sepatutnya berlaku tetapi tidak berlaku.
“Selain tindakan terhadap ketidakpatuhan, pemantauan juga perlu dilakukan secara telemetri iaitu secara masa nyata,” katanya.
Pembentangan kajian Pakar Scieno TW sebelum ini turut mencadangkan mengenai pelaksanaan audit, pelan pengurusan dan sistem pengawasan automatik bagi memperkukuh kawalan terhadap aktiviti yang berpotensi menjejaskan sungai.
Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Perak, Nizarulikram Abdul Rahim berkata, sistem telemetri tersebut dijangka siap menjelang hujung tahun ini bagi membolehkan perubahan kualiti air dapat dikesan dengan lebih cepat dan maklumat dapat disalurkan kepada agensi berkaitan.
Beliau berkata, pihaknya memantau secara ketat sebarang perkembangan aktiviti perlombongan termasuklah penggunaan dron.
Tambahnya, gabungan kajian TMDL, audit premis dan pemantauan masa nyata membolehkan sebarang perubahan atau ketidakpatuhan dikenal pasti lebih awal selain membantu kerajaan negeri menentukan langkah kawalan berdasarkan data.
The post Kajian TMDL kenal pasti punca perubahan air appeared first on Kosmo Digital.