Kajian TMDL kenal pasti punca perubahan kualiti air

Whatsapp image 2026 08 29 at 9. 47. 00 am 1

Whatsapp image 2026 08 29 at 9. 47. 00 am 1

IPOH: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak mencadangkan kajian Beban Harian Maksimum Total (TMDL) bagi kawasan Hulu Perak untuk mengenal pasti serta memetakan semua sumber berpotensi yang menyumbang kepada perubahan kualiti air dan peningkatan tahap mineral di Sungai Rui.

Pegawai Kanan Kawalan Alam Sekitar JAS Perak, S. Pravin berkata, kajian itu mampu menyediakan data teknikal yang diperlukan oleh kerajaan negeri bagi membuat keputusan selain merangka langkah secara tersusun untuk mengawal sebarang pencemaran atau peningkatan beban bahan dari peringkat sumber.

Menurutnya, kajian tersebut tidak terhad kepada aktiviti perlombongan sahaja tetapi mengenal pasti semua punca yang mungkin ada di sepanjang sungai serta pihak atau agensi yang bertanggungjawab.

“Kami telah mencadangkan kajian TMDL untuk Hulu Perak. Melalui kajian ini, kita boleh memetakan semua sumber di sepanjang sungai bukan sahaja aktiviti perlombongan dan mengenal pasti agensi yang bertanggungjawab.

“JAS telah memberi taklimat mengenai cadangan itu kepada Lembaga Pengurusan Sumber Air Perak (LPSA) yang dijangka akan menyediakan kertas kerja bagi mendapatkan peruntukan untuk kajian tersebut,” katanya.

Pravin berkata, keperluan untuk penilaian yang lebih menyeluruh itu turut mengambil kira insiden serupa yang pernah direkodkan pada 2018 dan 2019 walaupun ia tidak didokumentasikan secara menyeluruh ketika itu.

“Mungkin terdapat insiden serupa sebelum ini tetapi tidak didokumentasikan dengan baik. Kini, dengan laporan terbaru, kita mempunyai penemuan yang lebih jelas.

“Kami tidak cuba menafikan bahawa terdapat sumber yang boleh menyumbang kepada perubahan itu. Apa yang kita perlukan adalah data teknikal supaya kerajaan negeri boleh membuat keputusan yang tepat bagi mengawal isu ini pada masa depan,” katanya.

Menurutnya, pendekatan TMDL penting bagi mengelakkan sesuatu kejadian dikaitkan terus kepada satu aktiviti tanpa mengetahui sumbangan sebenar daripada setiap sumber di sepanjang kawasan tadahan.

Bagi Ketua Pegawai Eksekutif Pakar Scieno TW Sdn. Bhd., Dr. Abdul Rani Abdullah, audit menyeluruh perlu dilakukan terhadap syarikat perlombongan di Hulu Perak bagi mengesan kelemahan sistem pengurusan air dan pelepasan sisa buangan.

“Audit itu perlu membabitkan analisis jurang bagi memastikan sistem pengurusan yang sepatutnya diwujudkan telah dilaksanakan. Jadi yang pertama, audit secara komprehensif dengan terma rujukan yang jelas untuk mengenal pasti apa yang sepatutnya berlaku tetapi tidak berlaku.

“Selain tindakan terhadap ketidakpatuhan, pemantauan perlu dilakukan secara telemetri iaitu secara masa nyata,” katanya.

Pembentangan kajian Pakar Scieno TW sebelum ini turut mencadangkan pelaksanaan audit, pelan pengurusan dan sistem pengawasan automatik bagi memperkukuh kawalan terhadap aktiviti yang berpotensi menjejaskan sungai.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Perak, Nizarulikram Abdul Rahim memaklumkan, sistem telemetri itu dijangka disiapkan menjelang hujung tahun ini bagi membolehkan perubahan kualiti air dikesan dengan lebih cepat dan maklumat terus disalurkan kepada agensi yang berkaitan.

Kata beliau, pihaknya memantau secara ketat sebarang perkembangan aktiviti perlombongan berkenaan termasuk penggunaan dron untuk melihat keadaan kawasan dari udara.

Menurutnya, gabungan kajian TMDL, audit premis dan pemantauan masa nyata akan membolehkan sebarang perubahan atau ketidakpatuhan dikenal pasti lebih awal selain membantu kerajaan negeri menentukan langkah kawalan berdasarkan data. – UTUSAN

The post Kajian TMDL kenal pasti punca perubahan kualiti air appeared first on Utusan Malaysia.

Related Articles