Bdb. Jpg4

Kali pertama BDB catat pendapatan lebih RM300 juta

Bdb. Jpg4

ALOR SETAR – Bina Darulaman Berhad (BDB) mencatat pendapatan sebanyak RM313.1 juta bagi tahun kewangan 2023, prestasi tertinggi yang pernah dicatat Kumpulan sejak tahun 2016 berbanding RM231.4 juta tahun sebelumnya.

Pengarah Eksekutif Kumpulan BDB, Raja Shahreen Raja Othman berkata, ini merupakan kali pertama Kumpulan tersebut merekodkan pendapatan melebihi RM300 juta.

“Segmen kejuruteraan, pembinaan dan kuari (ECQ) merupakan penyumbang utama kepada peningkatan tersebut selepas mendapat manfaat penuh daripada pemulihan pandemik Covid-19 sebelum ini.

“BDB Infra Sdn. Bhd. telah memperoleh kontrak penyelenggaraan jalan negeri bernilai RM204 juta daripada kerajaan negeri. Selain itu, syarikat juga menerima kontrak bernilai RM34.1 juta daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan untuk sistem pengairan ‘tertier’ di Kedah.

“Bagi segmen hartanah pula, kami telah melancarkan lima projek pembangunan di Bandar Darulaman dekat Jitra, Darulaman Saujana di Hosba serta Aman Nusa dan Darulaman Sanctuary di Langkawi,” katanya pada sidang akhbar bersempena Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) BDB Ke-29 di sini.

Mengulas lanjut katanya, keuntungan Kumpulan turut dipacu oleh pendapatan lebih tinggi daripada operasi di Kuari Bukit Perak dekat Pendang, Kuari Gemi Puncak di Langkawi serta projek usaha sama dijalankan di Kubang Pasu serta Sungai Petani.

Mengenai perancangan Kumpulan untuk masa depan,  Raja Shahreen berkata, BDB kekal berhati-hati dan optimis di tengah-tengah ketidakpastian pasaran.

“Kami memberi penekanan terhadap kelestarian serta prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

“BDB turut memberi lebih tumpuan kepada peningkatan ketahanan rantaian bekalan, peningkatan kemahiran tenaga kerja dan pelaburan dalam penghasilan tenaga boleh diperbaharui untuk memperkasakan BDB bagi pertumbuhan pada masa depan.

“Dengan peruntukan yang lebih tinggi untuk pembangunan infrastruktur dalam Belanjawan 2024, segmen ECQ dijangka boleh mendapat manfaat daripada projek-projek berimpak tinggi seperti di Kulim Hi-Tech Park serta projek bekalan air yang sedang berjalan di Kedah,” katanya. -KOSMO! ONLINE

 

The post Kali pertama BDB catat pendapatan lebih RM300 juta appeared first on Kosmo Digital.